KUALA LUMPUR 28 Ogos - Citaglobal Berhad memeterai perjanjian pelaburan atau term sheet yang mengikat dengan Tree Technologies Sdn Bhd (TTSB) berkaitan usaha sama untuk membangunkan sebidang tanah di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan sebagai taman perindustrian mesra alam sekitar.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Citaglobal berkata, tanah industri pajakan yang dimiliki Tree Technologies itu berkeluasan 999,521 meter persegi atau kira-kira 247 ekar (100 hektar).
Katanya, usaha sama yang dicadangkan itu masing-masing melibatkan pegangan ekuiti sebanyak 65% untuk Citaglobal atau entiti yang dicalonkan dan 35% lagi untuk Tree Technologies.
Perjanjian tersebut juga merangkumi pilihan panggilan yang diberikan oleh Tree Technologies kepada Citaglobal untuk memperoleh tanah tersebut dengan harga RM90 juta, yang akan dibayar melalui kombinasi tunai dan penerbitan saham keutamaan boleh tukar kelas B baru dalam Citaglobal (ICPS-B) kepada Tree Technologies pada harga penerbitan 80 sen setiap ICPS-B.
Pilihan panggilan ini boleh dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan selepas pelaksanaan perjanjian pilihan yang akan dimeterai antara kedua-dua pihak, kata Citaglobal dalam pemakluman berkenaan yang tidak menyatakan nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek taman industri yang dicadangkan.
Kedua-dua Citaglobal dan Tree Technologies mempunyai masa 60 hari dari tarikh perjanjian atau helaian terma ini untuk memeterai perjanjian definitif berkaitan dengan cadangan tersebut.
Citaglobal juga menegaskan bahawa cadangan tersebut merupakan transaksi pihak berkepentingan kerana pengerusi eksekutif, presiden, dan pemegang saham utama Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, juga merupakan satu-satunya pengarah dan pemegang saham tunggal TIZA Global Sdn Bhd, yang merupakan pemegang saham utama Citaglobal dan juga pemegang saham terbesar Tree Technologies dengan pegangan sebanyak 65.5%. Norza juga merupakan pengarah tunggal Tree Technologies.
Menurut syarikat itu, usaha sama yang dicadangkan untuk taman industri mesra alam menyediakan peluang kepada Citaglobal dengan beberapa sinergi potensi yang menyokong keputusan strategik ini untuk memanfaatkan kehadiran East Coast Rail Link (ECRL) yang dijangka meningkatkan hubungan, aksesibiliti dan pertumbuhan ekonomi dengan kemungkinan peningkatan permintaan untuk ruang industri di Pahang.
Selain itu, katanya, usaha sama yang dicadangkan membolehkan penjualan silang perkhidmatan dan teknologi, termasuk reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, perkhidmatan pembinaan, dan pembangunan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), bumbung hijau dan sistem pengumpulan air hujan.
ARTIKEL BERKAITAN: Citaglobal meterai JDFA dengan pembekal insinerator sisa pepejal terbesar China, SUS Environment
"Dengan kerjasama terbaharu antara Shanghai SUS Environment Co., Ltd. dan Citaglobal, usaha sama yang dicadangkan bertujuan untuk memanfaatkan teknologi inovatif sisa buangan kepada tenaga yang fokus kepada menukar sisa industri dan organik menjadi tenaga berharga, sekali gus memajukan amalan hijau yang mampan.
"Pilihan yang dicadangkan untuk pengambilalihan tanah memberikan peluang kepada Syarikat untuk memiliki tanah (yang pilihan panggilan ini hanya akan dilaksanakan oleh Citaglobal atau entiti yang dicalonkan) selepas penilaian penuh dan kemungkinan pembangunan Taman Industri Mesra Alam yang dicadangkan melalui penerbitan ICPS-B tanpa perlu menanggung sebarang pengeluaran tunai atau perbelanjaan faedah oleh Citaglobal.
"Kumpulan boleh memanfaatkan potensi pertumbuhan rantau ini, menghasilkan pulangan yang mampan, dan mengukuhkan segmen pembangunan Kumpulan,” tambahnya.
Astramina Advisory Sdn Bhd telah dilantik sebagai pengatur transaksi kepada Citaglobal untuk cadangan tersebut, serta penasihat kewangan yang dilantik kepada Tree Technologies.
Dagang News pada 1 November lalu melaporkan, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menambah saham peribadinya di dalam syarikat Citaglobal Bhd yang kini berjumlah 9.90%.
Memetik penjelasan sebuah firma Donavan & Ho, term sheet atau secara literal dirujuk sebagai helaian terma berfungsi sebagai isyarat kuat mengenai niat yang menunjukkan kepada kedua-dua pihak, pemegang saham dan pihak berkepentingan dalaman bahawa perbincangan yang serius sedang dijalankan. Lazimnya helaian terma tidak mengikat.- DagangNews.com








