CIMB perkenal penyelesaian pembiayaan ASB unik dengan kerjasama CTOS dan Sun Life Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB perkenal penyelesaian pembiayaan ASB unik dengan kerjasama CTOS dan Sun Life Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun - CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad telah memperkenalkan penyelesaian pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang inklusif bersama CTOS Digital (CTOS) and Sun Life Malaysia Takaful Berhad (SLMT).

 

Inisiatif tersebut adalah untuk mendorong literasi kewangan, serta memperkasakan warga Malaysia dalam pengurusan kesejahteraan kewangan mereka, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bermula 15 Jun 2023, pelanggan yang melanggan Pembiayaan Bertempoh-i Dijamin oleh Sijil ASB sepanjang tempoh kempen itu akan menerima Laporan Asas MyCTOS dengan CCRIS secara percuma, yang memberikan rumusan kesihatan kredit mereka.

 

“Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati diskaun menarik untuk Laporan dan Penilaian Kredit MyCTOS jika mereka memerlukan tinjauan yang lebih komprehensif mengenai situasi kewangan mereka.

 

“Ini akan membantu mereka untuk lebih memahami dan menilai kedudukan kewangan mereka dan merancang dengan sewajarnya untuk mencapai matlamat kewangan jangka panjang,” tambahnya.

 

Di samping itu, kempen yang berakhir pada 31 Disember itu menawarkan perlindungan takaful untuk kemalangan peribadi 12 bulan bernilai RM10,000 secara percuma kepada pelanggan.

 

Faedah takaful ini termasuk kemalangan peribadi sebanyak RM5,000 untuk kematian/hilang upaya keseluruhan kekal dan tambahan RM5,000 untuk kematian akibat kemalangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna dan Digital Kumpulan, Effendy Shahul Hamid berkata inisiatif tersebut menggalakkan usaha memperkasakan pelanggan CIMB dan memastikan pelanggan yang mengakses pembiayaan ASB melalui bank itu turut diperkenalkan kepada konsep pengurusan kewangan dan insurans.

 

 

Effendy Shahul Hamid
Effendy Shahul Hamid

 

 

“Kami mengambil berat perkara ini yang sejajar dengan peranan kami untuk membina masyarakat inklusif, progresif dan celik kewangan.

 

“Justeru, kami berbesar hati dapat berkolaborasi dengan CTOS dan SLMT melalui penyelesaian nilai tambah yang inovatif ini, demi mempertingkatkan kebolehcapaian dan daya maju dana ASB untuk rakyat Malaysia, terutamanya komuniti M40 dan B40,” ujar beliau.

 

Terbuka kepada warganegara Malaysia Bumiputera berumur 18 tahun dan ke atas, kemudahan itu menawarkan pembiayaan sehingga RM200,000 dengan tempoh antara 5 hingga 40 tahun bagi tujuan melabur dalam dana ASB.

 

Maklumat lanjut tentang penyelesaian pembiayaan ASB itu boleh didapati di https://www.cimb.com.my/asb1. -DagangNews.com