DARI kiri, Gurdip Singh Sidhu, Izan Satrina Mohd Sallehudin dan Datuk Shahira Ahmed Bazari
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Okt. - CIMB Group, Cultural Economy Development Agency (Cendana) dan Yayasan Hasanah telah memeterai kerjasama awam-swasta atau ‘TripART’ untuk memperkasa pemulihan ekosistem seni, budaya dan warisan akibat pandemik COVID-19.
Di bawah kerjasama tersebut, ketiga-tiga pihak berkenaan akan menerajui tiga inisiatif berbeza yang secara dasarnya dijangka dapat meningkatkan keadaan ekosistem seni dan budaya.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan CIMB, Gurdip Singh Sidhu berkata, inisiatif yang diperkenalkan bank itu, CIMB Artober di mana merupakan sebahagian daripada kerjasama tersebut akan menyokong mata pencarian artis tempatan dan galeri seni.
“Ini sejajar dengan komitmen kami untuk memberi impak positif besar kepada komuniti. Sebagai sebahagian daripada CIMB Artober, kami akan menawarkan tawaran eksklusif untuk ‘staycation’ dengan rakan kongsi hotel dan tawaran istimewa kepada pelanggan kad kredit CIMB.
“Kami berharap dapat mewujudkan minat dan sokongan lebih besar daripada orang awam untuk ekosistem seni tempatan,” katanya dalam satu kenyataan bersama, hari ini.
Kerjasama tiga hala itu bakal menyaksikan CIMB, Cendana dan Yayasan Hasanah mempromosikan program mereka bermula bulan ini sehingga Disember 2021 di mana acara kemuncaknya melibatkan Hotel Art Fair bermula 4 hingga 7 November 2021.
Selain program CIMB Artober, Cendana pula bakal menganjurkan kempen Art In The City (AITC) yang akan menampilkan sembilan program utama, sementara Yayasan Hasanah memperkenalkan Arts for All Seasons (ArtsFAS).
Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehudin berkata bahawa pihaknya komited untuk menyokong pemulihan sektor seni dan budaya.
“Kami berada di landasan tepat dan telah meluluskan RM22 juta dalam tempoh 14 bulan lalu yang akan memberi manfaat kepada lebih daripada 8,000 pengamal.
"Sebagai tambahan kepada geran yang diluluskan di bawah Penjana, Pemulih dan Prisma, kami berhasrat untuk membawa sektor kami kembali ke dalam ekonomi kreatif menerusi usaha bersama AITC, CIMB Artober dan ArtsFAS,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari percaya ArtsFAS akan memberi peluang ekonomi kepada 1,355 pengamal seni, budaya dan warisan.
Katanya, program itu melibatkan 31 persembahan seni di pelbagai lokasi di dalam negara, beserta pengalaman maya.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan CIMB dan Cendana untuk mewujudkan impak lebih besar kepada sektor ini dan membawa kecemerlangan sebagai penutup tahun ini,” katanya. - DagangNews.com








