KUALA LUMPUR 17 April - Chevrolet memanggil semula 3,725 unit kenderaan Chevroet dan SAAB di Malaysia bagi menggantikan inflator beg udara Takata di bahagian pemandu dalam kenderaan kerana terdapat potensi kematian jika beg udara yang rosak teraktif sekiranya berlaku kemalangan.
Model kenderaan yang terlibat ialah Chevrolet Cruze, model tahun 2010–2015, Chevrolet Orlando (model 2013–2015), Chevrolet Sonic (model 2013–2014), Chevrolet TRAX model 2017 dan SAAB 9-3 model 2007.
Jurucakap Chevrolet Sales Thailand berkata, kadar sambutan di Malaysia adalah di bawah jangkaan, dan ini membimbangkan kerana kematian mungkin berlaku jika beg udara yang rosak teraktif ketika berlaku kemalangan.
Katanya, pihaknya berharap masyarakat membantu menyebarkan peringatan ini, atau memaklumkan segera kepada rakan dan orang tersayang yang mungkin memiliki kenderaan Chevrolet yang tersenarai.
"Pemilik kenderaan Chevrolet terlibat yang tidak menerima makluman atau panggilan kerana data pemilikan dalam sistem yang sudah lapuk, adalah digalakkan untuk menghubungi pasukan petugas kami atau log masuk ke laman web kempen panggilan balik untuk mendapatkan butiran lanjut.
"Demi untuk keselamatan dan insan yang anda sayangi, kami menggesa para pemilik kenderaan yang masih belum tampil untuk segera menukar beg udara sebelum memulakan perjalanan di musim perayaan kelak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Chevrolet, memandangkan kenderaan yang terlibat bukan baharu, sukar untuk mengesan pemilik yang terkini oleh kerana data pelanggan yang sudah lapuk, ditambah lagi dengan ketiadaan pejabat rasmi Chevrolet di Malaysia.

"Bagaimanapun, memandangkan penggantian beg udara percuma itu dikendalikan oleh pengedar sah Honda terpilih, Chevrolet berharap para pemilik kenderaan akan memanfaatkan kemudahan rangkaian pusat servis Honda yang komprehensif.
"Walaupun tarikh akhir untuk kerjasama itu belum diumumkan, pemilik kenderaan yang terlibat digalakkan untuk memanfaatkan kemudahan ini secepat mungkin,kerana kerjasama antara Chevrolet dan Honda Malaysia ini hanya untuk tempoh yang terhad," katanya.
Kelak katanya, ia mungkin akan menjadi sangat sukar untuk mendapatkan khidmat menukar beg udara secara percuma ini sebaik sahaja kerjasama dengan Honda Malaysia berakhir.
Pemilik kenderaan yang terlibat digalakkan untuk melayari laman web kempen ini di www.chevrolettakatarecallmy.com yang mana mereka akan dibimbing cara untuk membuat tempahan slot penggantian.
Untuk pertanyaan lanjut, pemilik kenderaan boleh menghubungi +6011 3129 9963 atau +6011 3129 9965 atau layari www.chevrolettakatarecallmy.com. - DagangNews.com








