Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Jumlah pendapatan syarikat pembuatan teknologi, VS Industry Berhad (VSI) untuk tahun kewangan 2021 dinilai dengan lebih berhati-hati.
CGS-CIMB Research berkata, penilaian tersebut dibuat susulan permintaan terhadap bekalan barangan penyemburan COVID-19 oleh syarikat Victory Innovations Inc (Victory Inc) dijangka berkurang sekiranya wabak berkenaan mulai reda pada tahun kewangan 2021.
"Kami jangkakan VSI akan mula memperoleh pendapatan melalui kerjasama tersebut pada suku keempat tahun kewangan 2021 dan lebih besar untuk tahun kewangan 2022.
"Walaupun kami menjangkakan sumbangan pendapatan yang akan diperoleh VSI adalah sekitar RM600 juta bagi tahun kewangan 2021, namun kami lebih berhati-hati menilai jumlah permintaan barangan tersebut kerana dibimbangi akan berkurangan sekiranya wabak COVID-19 mulai reda," jelas CGS-CIMB Research.
Pada 17 Ogos lalu, VSI menerusi anak syarikatnya, Guardian South East Asia Pte Ltd (Guardian) telah menandatangani perjanjian dengan Victory Innovations Company Inc (Victory Inc) untuk menghasil dan membekalkan penyembur elektrostatik tanpa wayar.
Baca: Perang perdagangan AS-China buka peluang VSI raih potensi pelanggan
Menerusi kerjasama itu, VSI akan menyediakan perkhidmatan pembuatan, rantaian bekalan dan logistik kepada Victory Inc bersesuaian dengan spesifikasi dan pesanan pembelian yang akan ditentukan.
CGS-CIMB Research turut berpendapat, kerjasama tersebut turut didorong oleh ketegangan perdagangan AS-China yang berterusan.
Permintaan barangan daripada pelanggan VSI dilihat menggalakkan khususnya berkaitan produk penjagaan rumah daripada pelanggan di Amerika Syarikat (AS).
Situasi tersebut dilihat akan memberi perubahan kepada prestasi pendapatan VSI untuk suku keempat tahun kewangan 2020.
"Dengan jumlah permintaan yang semakin meningkat khususnya produk c.4 menjelang akhir tahun kewangan 2021, kami berpandangan prestasi itu memberi peluang kepada pengembangan margin yang lebih signifikan sepanjang tahun kewangan 2021 hingga 2022," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com








