KUALA LUMPUR 6 Julai - CGS-CIMB Research menaikkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini kepada 6.2% berbanding anggaran sebelum ini pada 5.6% berikutan pertumbuhan yang kukuh pada suku pertama 2022.
Bagaimanapun, ekonomi Malaysia diunjur lebih menyederhana sekitar 5% pada 2023, menurut penganalisisnya, Nazmi Idrus dalam nota kajian hari ini.
Beliau berkata, Malaysia tidak begitu terkesan dengan kenaikan harga barang, seperti yang dialami negara-negara jiran lain, disebabkan subsidi yang meluas membolehkan perbelanjaan pengguna secara berterusan.
Namun, katanya, masih wujud cabaran di hadapan terutamanya kemungkinan penarikan balik sokongan dasar, peralihan ke arah subsidi yang disasarkan, risiko politik dan halangan daripada ekonomi global yang menjejaskan industri berorientasikan eksport.
"Selepas merekodkan 5% pertumbuhan KDNK yang lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama 2022, kami menjangkakan prestasi ini akan berterusan pada suku berikutnya.
"Ini kerana subsidi yang meluas membolehkan perbelanjaan pengguna berterusan walaupun harganya meningkat.
"Oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan KDNK yang kukuh pada suku kedua dan ketiga, sebelum menyederhana pada suku keempat dan 2023," katanya.

Menurut beliau, penggunaan swasta dijangka berkembang 10% pada separuh kedua manakala 5.4% pada 2023 memandangkan perbelanjaan masih meningkat dalam tempoh terdekat seperti yang ditunjukkan dalam indeks perdagangan runcit pada April 2022, meningkat 16.6% tahun ke tahun dan 6.2% bulan ke bulan.
Turut menyokong perbelanjaan pengguna adalah pemulihan secara beransur-ansur dalam pasaran buruh apabila kadar pengangguran April 2022 mencecah paras terendah dalam tempoh 25 bulan pada 3.9%.
"Tambahan pula, pendapatan pekerja meningkat 25% susulan kenaikan gaji minimum manakala harga minyak mentah yang tinggi meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar.
"Namun begitu, momentum pemulihan permintaan dihalang oleh kapasiti pengeluaran yang tidak optimum kerana perniagaan bergelut dengan kekurangan buruh dan ini menimbulkan cabaran kepada sektor pertanian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan, termasuk industri berkaitan pelancongan," jelasnya.

Pada masa sama, Nazmi menjangkakan pembentukan modal tetap kasar (GFCF) Malaysia berkembang 9.7% pada separuh kedua 2022 dan 6.1% pada 2023, sebahagiannya disebabkan oleh asas yang rendah.
"Kami juga mengunjurkan pelaburan akan berkurangan pada separuh kedua dan seterusnya apabila perniagaan mula mengunjurkan normalisasi permintaan," tambahnya.
Bagaimanapun, beliau mendapati wujudnya tanda-tanda kelembapan, terutamanya daripada penurunan jualan kenderaan motor dan pengeluaran bahan binaan yang lebih rendah menunjukkan pertumbuhan KDNK yang sederhana pada masa hadapan.
Katanya, gangguan bekalan global, kenaikan kos input dan masalah kekurangan tenaga kerja yang teruk semakin menambah tekanan kepada segmen pelaburan.
"Begitu juga, pelaburan awam berkemungkinan sederhana kerana projek-projek utama hampir siap. Antaranya, MRT2 hampir siap dengan fasa 1 mula beroperasi pada Jun manakala fasa 2 dibuka semula pada Januari 2023, manakala Lebuhraya Pan Borneo 80% siap.
"Bagi projek MRT3 pula, kami menjangkakan pengagihan adalah minimum dan berkemungkinan tertumpu kepada pengambilan tanah.
"Oleh itu, projek kecil dengan pelancaran yang cepat boleh mendapat tarikan di tengah-tengah jangkaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir," jelasnya.
Bagi eksport pula, beliau menjangkakan pertumbuhan akan melemah kepada 8.4% pada tahun ini, dengan risiko stagflasi khususnya kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan kelembapan ekonomi China, memberi risiko negatif kepada prestasi eksport Malaysia.

Di samping itu, Nazmi juga percaya kerajaan boleh mengukuhkan defisit fiskal pada 6% daripada KDNK 2022 kepada 5% pada 2023.
"Pada pandangan kami, pembaharuan semula cukai pada 2023 berkemungkinan akan meluaskan asas hasil kerajaan berkemungkinan dan orientasi semula subsidi bahan api kelihatan tidak dapat dielakkan sekiranya harga komoditi kekal dinaikkan.
"Kerajaan telah menyatakan bahawa mekanisme subsidi bahan api yang disasarkan sedang diusahakan dan pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sedang dikaji," katanya.
Secara keseluruhan, beliau berkata, Bank Negara Malaysia akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 2 kali pada 25 mata atas menjelang separuh kedua 2022, menjadikan kadar itu pada 2.5%. Ini kemudiannya diikuti 2 lagi kenaikan pada 2023.
Kadar inflasi pula diunjur meningkat pada purata 3.1% tahun ini manakala 3.2% pada 2023, lebih tinggi berbanding purata 2021 pada 2.5%.
"Tekanan inflasi dijangka meningkat lagi, berikutan keputusan kerajaan untuk menamatkan subsidi minyak masak dalam botol dan menaikkan had harga ayam dan telur," katanya.
Menurutnya, pelepasan kos harga minyak yang lebih tinggi kepada harga bahan api runcit akan meningkatkan inflasi utama, tetapi, ini tidak mungkin berlaku sehingga PRU-15.
"Oleh itu, kami percaya peralihan kepada subsidi bahan api yang disasarkan kemungkinan berlaku pada 2023, bukannya separuh kedua 2022," jelasnya. - DagangNews.com








