KUALA LUMPUR 4 Julai - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Baharin Din menyarankan pendekatan serta kerjasama holistik merentasi semua sektor dan sempadan negara bagi mengemudi peralihan tenaga global secara efektif.
Beliau berkata, cabaran dan peluang peralihan tenaga adalah berterusan dan berbeza-beza bukan sahaja mengikut negara tetapi antara sektor dan permulaan perjalanan ke arah perubahan adalah berbeza.
Beliau menekankan mengenai kepentingan pendekatan komprehensif dan bersepadu untuk menangani isu-isu berkaitan peralihan tenga.
“Ramai menjangkakan peralihan pantas dan lengkap kepada Tenaga Boleh Baharu (RE), tetapi realitinya lebih kompleks dan mencabar.
"Di ASEAN sebagai rantau membangun, kami bertanggungjawab mengimbangi trilema tenaga bagi memastikan keterjaminan bekalan dan kemampuan pelanggan,” katanya pada Persidangan Peralihan Tenaga Global (GET) Reuter di New York, Amerika Syarikat (AS).

Baharin berkata, dalam industri elektrik hari ini, adalah penting untuk menerima pakai perspektif yang merangkumi kedua-dua pertimbangan merentasi sektor dan negara
Katanya, pendekatan itu membolehkan pihaknya mengoptimumkan sumber, memanfaatkan skala ekonomi, mengurus perbelanjaan modal (capex) yang besar secara berkesan.
Beliau merujuk bahawa dalam tempoh 2018 hingga 2050, ASEAN memerlukan AS$7 trilion atau AS$220 bilion setiap tahun bagi pelaburan dalam peralihan tenaga untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih. Bagi tempoh sama, TNB memerlukan kira-kira RM440-RM450 bilion capex dalam meneruskan agenda Peralihan Tenaga Bertanggungjawabnya sendiri untuk Malaysia.
"Penyelesaian merentas sektor akan membantu mengoptimumkan sumber sambil memenuhi keperluan semua orang dalam mencapai matlamat peralihan tenaga masing-masing. Oleh itu, kerajaan memainkan peranan penting dalam mewujudkan dasar yang jelas dan menyediakan pelaburan dan penyelarasan merentas sektor untuk memudahkan peralihan tenaga.
"TNB sangat bertuah kerana kerajaan menyediakan dasar yang jelas dan amat diperlukan, panduan serta pembiayaan untuk pelaburan teknologi hijau baharu," katanya.
Mengenai kesalinghubungan serantau, beliau berkata, Malaysia dan ASEAN sangat berminat untuk memperoleh faedah sama daripada perdagangan rentas sempadan seperti rakan mereka di Eropah yang mana kerjasama serantau di sana telah mencapai anggaran 34 bilion Euro sambil membantu meredakan ketidaktentuan harga.
“Kefahaman bersama betapa krtikalnya kepentingan peralihan tenaga sejak tiga tahun lalu membantu mendorong ASEAN mempercepatkan program kesalinghubungan yang mendorong pelaburan dalam penjanaan dan grid, membantu mengukuhkan keterjaminan bekalan di rantau ini.
"Kami mempunyai 7.7GW dalam sambungan sedia ada, cuma perdagangannya dilakukan secara dua hala melalui Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dan perjanjian antara saling hubungan," katanya. - DagangNews.com








