CelcomDigi jalin kerjasama dengan Huawei, ZTE bagi projek integrasi dan modernisasi rangkaian di seluruh negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CelcomDigi jalin kerjasama dengan Huawei, ZTE bagi projek integrasi dan modernisasi rangkaian di seluruh negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - CelcomDigi Berhad menjalin kerjasama dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan ZTE (Malaysia) Corporation Sdn Bhd untuk pembelian perkhidmatan rangkaian, penyelesaian dan peralatan bagi projek integrasi dan modernisasi rangkaian di seluruh negara. 

 

CelcomDigi telah memulakan program berskala penuh untuk membina rangkaian digital masa depan Malaysia dengan teknologiLTE dan sedia-5G yang terkini.

 

Ia merupakan salah satu projek pembangunan rangkaian telekomunikasi terbesar di negara susulan daripada penggabungan Celcom dan Digi pada Disember 2022, yang akan menyumbang ke arah membina ekosistem dan ekonomi digital negara. 

 

Usaha ini akan melibatkan kerja penambahbaikan dan integrasi hampir 25,000 tapak Celcom dan Digi yang sedia ada di seluruh negara. 

 

Ia juga melibatkan seramai 800 jurutera yang terdiri daripada jurutera tempatan yang mahir serta pekerja yang berkemahiran dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan lebih daripada 250 pasukan kontraktor yang khusus dalam  kerja pemasangan di seluruh negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, dengan gabungan kepakaran dan sumber yang diperlukan, rangkaian yang telah dimodenkan akan memperkukuhkan lagi keupayaan CelcomDigi untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik, kekal berdaya saing dan memenuhi  permintaan data landskap digital yang makin berkembang. 

 

"Rangkaian kami yang moden dan bersepadu akan menjadi ciri penting dalam usaha CelcomDigi untuk menjadi pemacu digital negara yang menyokong kewujudan bersama dan evolusi 4G/LTE serta teknologi masa hadapan, termasuk 5G.

 

 

celcomdigi

 

 

"Rangkaian baharu ini direka supaya dapat beralih ke rangkaian 5G dengan 18,000 tapak,  satu infrastruktur yang diperlukan untuk Malaysia menuju ke era kelajuan ultra tinggi, latensi  rendah serta pelbagai peluang untuk masa depan yang lebih terhubung. 

 

"Ini merupakan pencapaian yang penting buat CelcomDigi serta industri, dan kami berasa teruja untuk menjadi peneraju industri dengan kerjasama strategik Huawei dan ZTE untuk merealisasikan potensi masa depan digital kami," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Di bawah perjanjian tersebut, CelcomDigi akan memodenisasikan Rangkaian Akses Radio (RAN) di seluruh negara dengan teknologi terkini yang terdiri daripada perkhidmatan kejuruteraan dan pengoptimuman hujung ke hujung daripada Huawei dan ZTE.

 

Ia akan menawarkan 'throughput' yang lebih tinggi serta memberi liputan rangkaian yang lebih luas, bagi menyediakankan pengalaman pengguna yang lebih baik, boleh dipercayai, stabil dengan konsistensi yang lebih tinggi. - DagangNews.com