CelcomDigi Business perkukuh penyelesaian digital dan sambungan perniagaan | DagangNews Skip to main content

CelcomDigi Business perkukuh penyelesaian digital dan sambungan perniagaan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - CelcomDigi Business diperkenalkan untuk membantu semua perusahaan melonjakkan kecekapan dan produktiviti perniagaan mereka menerusi rangkaian penyelesaian digital dan sambungannya.

 

Menurut CelcomDigi, ia akan mengukuhkan kemampuan syarikat dengan menawarkan penyelesaian mudah alih, tetap, Internet kebendaan (IoT), awan dan keselamatan siber kepada pelanggan perniagaan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), perusahaan korporat dan segmen sektor awam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata gabungan Celcom dan Digi baru-baru ini telah melahirkan CelcomDigi Business yang menawarkan rangkaian, produk dan perkhidmatan, pengalaman pelanggan, inovasi serta pakar industri terbaik daripada kedua-dua organisasi bagi memenuhi pelbagai keperluan perniagaan pada masa kini dan akan datang.

 

“Kami berazam untuk memahami perubahan dalam keperluan perniagaan kerana kami ingin membantu mereka memanfaatkan peluang dan kelebihan menggunakan teknologi serta penyelesaian digital yang tepat dalam menyelesaikan permasalahan perniagaan di samping meningkatkan kecekapan.

 

 

datuk idham nawawi
Datuk Idham Nawawi

 

 

Kami berharap dapat memperkasakan mereka untuk bersaing dan berkembang maju dalam ekonomi digital hari ini,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Idham berkata syarikat itu komited menjadi rakan kongsi dipercayai oleh perniagaan dengan kedudukan syarikat di landasan yang tepat untuk memacu 5G, penyelesaian AI dan IoT, serta membangunkan peluang pertumbuhan baharu untuk perusahaan besar, PKS dan syarikat baharu.

 

CelcomDigi Business menawarkan pelbagai penyelesaian khas menerusi rangkaian terluas dan terpantas di negara ini.

 

Untuk tawaran mudah alih dan tetap, perusahaan dapat menikmati sambungan dengan nilai terbaik, boleh dipercayai dan berprestasi tinggi, memudahkan perniagaan beroperasi di mana-mana sahaja serta mengguna pakai IR4.0.

 

Perniagaan yang ingin mempercepatkan inisiatif pendigitalan boleh meneroka penyelesaian IoT CelcomDigi Business, di mana ia menjadikan mesin sebuah aset pintar meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

 

 

celcomdigi business

 

 

Sementara itu, penyelesaian Awan dan Sekuriti Siber mampu mengubah dan menambah baik urus tadbir perniagaan serta melindungi data dan harta intelek.

 

Dalam pada syarikat mempertingkatkan usaha integrasinya, Idham berkongsi bahawa pelanggan perusahaan terutamanya PMKS bakal menikmati tawaran menarik baharu yang akan dilancarkan di bawah jenama CelcomDigi Business.

 

“Kami akan membawakan produk dan penyelesaian digital yang ditambah baik ke pasaran dalam masa terdekat, demi memastikan mereka mempunyai akses terhadap penyelesaian digital serta kepakaran yang berpatutan dan terbaik dalam kelasnya untuk menyokong usaha pendigitalan mereka,” katanya.   -DagangNews.com