KUALA LUMPUR 5 April - Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) hari ini menerbitkan kertas perundingan awam kedua (CP2) sekali gus mempelawa maklum balas tentang cadangan rangka kerja kawal selia bagi perniagaan kredit dan perkhidmatan kredit.
CP2 merupakan lanjutan daripada kertas perundingan awam pertama yang diterbitkan pada 4 Ogos 2022.
CCOB berkata, kertas perundingan itu meliputi keperluan berhubung dengan pemberi kuasa, tadbir urus dan amalan yang dikehendaki daripada semua penyedia kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank yang belum di kawal selia pada masa ini.
Ia khususnya merujuk kepada perniagaan perniagaan yang menjalankan aktiviti Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), perkhidmatan Pemajakan (Leasing) dan Pemfaktoran (Factoring), Agensi Kutipan Hutang (Debt Collection Agenci), Pembeli Pinjaman Terjejas (Impaired Loan Buyers) serta Perkhidmatan Kaunseling dan Pengurusan Hutang (Debt Counselling and Management Services).
“Penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit perlu dikawal selia serta mematuhi standard amalan atau profesionalisme yang tinggi,” kata CCOB dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Pasukan Petugas CCOB akan terus mengadakan sesi libat urus secara meluas dengan industri yang belum dikawal selia pada masa ini serta dengan pengguna bagi menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang praktikal.
Ketua Pasukan Petugas CCOB yang Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, matlamat utama adalah untuk mengukuhkan perlindungan kepada pengguna.
“Pada masa sama menyokong pembangunan industri kredit pengguna yang dapat memenuhi keperluan individu dan perniagaan kecil dengan berkesan”, katanya.
Skop CP2 antara lain, mencadangkan keperluan pelesenan yang penting termasuk keperluan kewangan minimum, tadbir urus serta keperluan syariah bagi perniagaan kredit berlandaskan syariah Islam.
CP2 turut menetapkan amalan profesional dan piawaian pinjaman berhemat yang perlu dipatuhi oleh penyedia kredit yang akan diberikan lesen.
Ia turut mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada Akta Sewa Beli 1967 (Hire Purchase Act) yang bertujuan untuk memodenkan akta tersebut di samping mempertingkat hasil pengguna.
Dalam pada itu, menurut CCOB, mereka juga mahu mendapatkan maklum balas bagi cadangan untuk memansuhkan Peraturan 78 iaitu membuat pengiraan faedah yang akan dikenakan ke atas kontrak sewa beli secara lebih awal.
Sehubungan itu, kata CCOB, caj faedah yang lebih tinggi akan dikenakan pada awal tempoh pinjaman dan kaedah pembiayaan itu boleh menyebabkan ketidakadilan kepada peminjam yang memilih untuk menyelesaikan pinjaman mereka lebih awal.
“Cadangan perubahan kepada HPA 1967 juga akan merangkumi penerimaan tandatangan digital dan elektronik untuk proses perjanjian sewa beli.
“Cadangan yang digariskan dalam CP2 memberikan butiran lanjut mengenai pelaksanaan Akta Kredit Pengguna yang pembentangannya di Parlimen dijangka menjelang akhir tahun ini,” katanya.
CCA pula akan mengawal selia semua penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit bukan bank di Malaysia dengan matlamat mewujudkan ekosistem kredit yang lebih teratur, telus dan adil bagi melindungi pengguna kredit.
Sehubungan itu, pihak berkepentingan dan orang ramai dipelawa untuk mengemukakan maklum balas dan ulasan mengenai kertas rundingan kepada Pasukan Petugas CCOB selewat- lewatnya pada 15 Mei 2023.
Lawati laman web CCOB untuk menggunakan borang maklum balas CCOB atau e-mel kepada [email protected].
Untuk maklumat lanjut tentang CCOB dan CCA, sila layari laman web www.ccob.my. - DagangNews.com








