Carlo Rino failkan draf prospektus pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE, rancang bina kedai 8 tingkat di Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

Carlo Rino failkan draf prospektus pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE, rancang bina kedai 8 tingkat di Kuala Lumpur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 April - Carlo Rino Group Bhd yang tersenarai di Pasaran LEAP memfailkan draf prospektus untuk pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE Bursa Malaysia dan merancang menggunakan dana yang diperoleh bagi membina kedai lapan tingkat di atas tanah miliknya di Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) Carlo Rino di Pasaran ACE terdiri daripada 171.86 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 87.98 juta saham.

 

Katanya, hasil yang diraih akan digunakan untuk pembinaan bangunan komersial lapan tingkat di atas tanah seluas 9,174.5 kaki persegi di Jalan Imbi.

 

"Pelaksanaan IPO itu adalah bersempena dengan pemindahan penyenaraian kami.

 

"Kami telah mendapat kelulusan daripada pemegang saham dan Bursa Securities untuk pelaksanaannya," katanya.

 

Kumpulan itu juga merancang menggunakan dana yang dikumpul untuk meningkatkan daya tarikan butik sedia ada dan jualan menerusi platform dalam talian selain menambah baik infrastruktur teknologi maklumatnya.

 

Carlo Rino menjalankan perniagaan reka bentuk, promosi, pemasaran, pengedaran dan jualan beg tangan, kasut serta aksesori wanita; pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah; pegangan pelaburan sekuriti serta penyediaan perkhidmatan pengurusan.

 

Mereka mengurus dan mengendalikan 36 butik di pusat beli-belah dan lima butik di cawangan premium di Malaysia untuk mempromosikan dan menjual produknya.

 

Produk  kumpulan itu juga terdapat di 82 gedung beli-belah di seluruh negara seperti Aeon, Parkson, SOGO, GAMA, Pacific Group, Isetan dan The Store.

 

Produk kumpulan itu juga boleh didapati secara dalam talian yang boleh diakses di seluruh dunia selain di platform pihak ketiga seperti Zalora, Lazada, Shopee dan TikTok Shop. - DagangNews.com