KUALA LUMPUR 30 Okt - CapitaLand menjalin kerjasama dengan TNG Digital Sdn Bhd BAGI menawarkan kempen pulangan tunai di seluruh portfolio yang pertama seumpamanya sebagai ganjaran kepada pembeli di Malaysia.
Mulai 27 Oktober 2023 sehingga 26 April 2024, pengunjung yang membelanjakan minimum sebanyak RM100 dalam satu resit menggunakan e-dompet Touch ‘n Go di kedai peruncit yang mengambil bahagian di tujuh pusat beli-belah CapitaLand di seluruh Malaysia bakal diberi ganjaran e-baucar pulangan tunai sehingga RM10.
Pembeli boleh menggunakan baucar pulangan tunai mereka pada pembelian berikutnya di mana-mana peruncit yang mengambil bahagian di pusat beli-belah CapitaLand masing-masing.
Dengan tawaran menarik daripada fesyen, kecantikan, makanan dan minuman (F&B) serta gaya hidup di semua pusat beli-belah CapitaLand, pengunjung mempunyai pelbagai pilihan apabila mereka membeli-belah untuk mendapatkan keperluan harian, pakaian, produk kesihatan dan kecantikan, peralatan IT serta menjamu selera di kedai F&B kegemaran mereka.
Ketua Peruncitan CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata, pihaknya berbesar hati menjadi pengendali pusat beli-belah yang pertama di Malaysia bekerjasama dengan TNG Digital bagi memacu penggunaan pembayaran tanpa tunai dan memberi ganjaran kepada pengunjung setia kami untuk membeli-belah, menjamu selera dan berbelanja bersama mereka.
"Lonjakan permintaan dari segi pengalaman pembelian yang lebih baik mendorong kami untuk meningkatkan usaha bagi menyediakan kempen ganjaran yang mudah untuk memacu kehadiran pelanggan dan mempertingkatkan jualan penyewa menerusi perkongsian ini.
"Ia juga menjadi sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk mencipta pengalaman peruncitan yang lebih lancar kepada pelanggan dan mencipta nilai yang lebih baik dalam perbelanjaan harian mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Komersial TNG Digital, Danny Chua berkata, pihaknya gembira kerana telah menemui rakan kongsi bersesuaian di CapitaLand yang berkongsi visi mereka dalam menyediakan pengalaman yang lancar dan mudah untuk para pengguna.
"Kami berhasrat untuk memanfaatkan perkongsian ini bagi membawa masuk lebih ramai pengusaha dalam ekosistem kami dan kami juga berharap untuk menyediakan ganjaran yang lebih menarik kepada lebih 21 juta pengguna e-dompet Touch ‘n Go di pusat beli-belah CapitaLand," katanya.


Rangkaian peruncitan CapitaLand di Malaysia terdiri daripada tujuh pusat beli-belah yang mana enam dimiliki oleh CapitaLand Malaysia Trust - 3 Damansara di Petaling Jaya, East Coast Mall di Kuantan, Gurney Plaza di Pulau Pinang, The Mines di Seri Kembangan dan kepentingan majoriti di Queensbay Mall di Pulau Pinang dan Sungei Wang Plaza di Kuala Lumpur.
Pusat beli-belah lain ialah Melawati Mall di Taman Melawati. - DagangNews.com








