Canon lancar kamera video PowerShot V10 untuk pengguna tegar telefon pintar | DagangNews Skip to main content

Canon lancar kamera video PowerShot V10 untuk pengguna tegar telefon pintar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Canon Marketing Malaysia melancarkan PowerShot V10 iaitu sebuah kamera berkonsepkan video yang direka khas untuk digunakan pengguna tegar telefon pintar. 

 

Reka bentuk kamera PowerShot V10 yang nipis dan ergonomik serta menghasilkan rakaman yang berkualiti tinggi memudahkan pengguna untuk membawa teknologi pengimejan Canon ke mana-mana sahaja.

 

Pengarah Bahagian Perniagaan Komunikasi Imej di Canon Marketing Malaysia, Hunter Zhang berkata, kamera PowerShot V10 membuktikan komitmen pihaknya dalam usaha memperkasakan para pencipta kandungan. 

 

Beliau berkata, reka bentuknya yang intuitif memudahkan kerja penghasilan produksi pendek serta menetapkan standard kecemerlangan baharu dalam industri.

 

"Oleh kerana kandungan pendek kini menjadi permintaan ramai, Canon menyediakan kelengkapan untuk para pencipta kandungan demi menambah baik kualiti produksi mereka dengan tekun," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Disebalik badan kamera yang berukuran 9 sentimeter, PowerShot V10 ialah senjata penciptaan kandungan yang tiada tandingan. 

 

Pemegang yang tersedia bersamanya boleh dipanjangkan serta dicondongkan untuk memberi sokongan seperti 'tripod' apabila pengguna memerlukannya. 

 

 

canon

 

 

Selain itu, kamera ini juga mempunyai sebuah mikrofon tiga elemen berdiameter besar yang senyap serta menghasilkan audio yang jelas dan berkualiti. Ciri-ciri ini sangat sesuai untuk merakam video seperti ASMR (autonomous sensory meridian response).

 

Kit penciptaan kandungan 3 dalam 1 ini amat sesuai untuk segala jenis rakaman pendek, sama ada vlog percutian, demo 'breakdance', eksperimen sinematografi hinggalah strim langsung di lokasi itu sendiri. 

 

Teknologi pengimejan EOS Canon membolehkan kamera PowerShot V10 menghasilkan rakaman yang menakjubkan, rendah hingar dengan warna yang terang, walaupun di tempat yang kurang cerah dengan pencahayaan romantik.

 

Kamera PowerShot V10 dicipta untuk membantu pengguna mencapai hasil yang ideal tanpa mengira tahap kemahiran atau sejauh mana mereka ingin menyunting video dengan mod rakaman yang pelbagai termasuklah dedahan auto dan manual serta 14 tapisan warna. 

 

Autofokus pasti akan menjadi mudah walaupun untuk pemula: Face Tracking AF (Penjejakan Wajah) akan mengesan wajah secara automatik untuk memastikan muka kekal di dalam bingkai.

 

Kamera PowerShot V10 menyokong kaedah penyampaian masa nyata seperti penstriman langsung yang boleh dilakukan terus ke Facebook atau Youtube melalui aplikasi 'Camera Connect' tanpa perlu berlengah dengan tetapan yang rumit. 

 

Sebagai alternatif, pengguna juga boleh menggunakan kamera PowerShot V10 ini sebagai kamera web melalui sambungan USB-C 'plug-and-play'. - DagangNews.com