KUALA LUMPUR 19 Jun - Langkah kerajaan mendapatkan bantuan teknikal daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berhubung dengan strategi hasil jangka sederhana (MRTS) akan membebankan lagi keperitan rakyat dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan kadar inflasi yang tinggi.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin berkata, terdapat banyak faktor yang mengakibatkan kemerosotan hasil kutipan cukai kepada 11% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti struktur dan hala tuju ekonomi dan pimpinan kerajaan yang korup dengan rasuah.
Beliau berkata, jumlah 11% adalah yang terendah dalam kelompok ASEAN-5 dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
"Mengikut Laporan Perundingan-Konsultasi dan Kakitangan Artikel IV bagi Malaysia: 2023 yang dikeluarkan pada 1 Jun, IMF mencadangkan dasar monetari Malaysia perlu diperketatkan lagi.
"Sebarang kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) bukan sahaja akan membebankan rakyat tetapi juga syarikat khususnya sektor mikro, kecil dan sederhana.
"Majoriti rakyat dan syarikat mikro, kecil dan sederhana dibelenggu pinjaman yang tinggi dan amat sensitif kepada pertukaran kadar faedah pinjaman," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Armin, kenaikan kos akibat dari kadar faedah yang meningkat akan menaikkan lagi harga perkhidmatan dan/atau produk.

Katanya, operasi sesetengah syarikat akan terjejas apabila tidak dapat meneruskan kontrak pembekalan dengan kenaikan kos tanpa persetujuan untuk menyemak semula nilai kontrak.
"Ini juga boleh mendorong kepada tahap inflasi yang meninggi. Sumber hasil negara boleh ditingkatkan melalui sumber pendapatan negara yang lain seperti hasil duti eksais dan levi pekerja tanpa membebankan rakyat.
"Kerajaan boleh mengetatkan lagi penguatkuasaan barangan seludup dan levi pekerja asing yang semakin berleluasa, yang mana mengalami kerugian besar akibat dari barang yang diseludup masuk secara haram.
"Kerugian hasil negara dari penyeludupan rokok sahaja dianggarkan bernilai RM6 bilion tidak termasuk penyeludupan ubat-ubatan, minuman keras dan lain-lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun jumlah pekerja asing yang berdaftar melebihi 2.1 juta tetapi jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) dianggarkan mencecah 1 juta dan ia bukan sahaja menjejaskan hasil negara tetapi juga bersangkut paut dengan masalah ekonomi, sosial, keselamatan dan ketenteraman.
Katanya, kerajaan mengalami kerugian besar dari hasil cukai pendapatan, levi dan ekonomi haram yang dijana oleh PATI.
"Levi adalah salah satu dari 5 sumber perolehan daripada cukai yang boleh dipertingkatkan untuk menambah hasil negara. Pendapatan dari cukai yang tertinggi adalah dari cukai yang dikenakan ke atas keuntungan syarikat.
"Kerajaan harus terus mengutamakan dasar-dasar yang lebih mesra dan memperkasakan syarikat dan perniagaan. Apabila syarikat berdaya saing dan maju, hasil kerajaan akan bertambah," katanya.
Beliau berkata, dasar-dasar yang melemahkan syarikat seperti gaji minima, gaji progresif, penarikan subsidi, kenaikan kadar faedah pinjaman harus diteliti secara terperinci sebelum dilaksana dan dikuat kuasa.
Katanya, apabila keuntungan atau kos operasi syarikat terjejas, pekerja adalah golongan pertama yang akan terjejas apabila syarikat mula mengecilkan operasi.
"Snowball effect akan menjejas ekonomi negara dari perbagai aspek. Kebelakangan ini syarikat gergasi Panasonic Manufacturing Bhd juga telah mengecilkan operasi di Malaysia dengan menutup 2 kilang di Shah Alam.
"Begitu juga rangkaian kedai buku Borders yang telah menutup terus operasi di Malaysia. Ini adalah isyarat jelas dasar ekonomi negara tidak berjaya mengekalkan permintaan.
"Kami bersetuju dengan pandangan IMF berkenaan dengan belanjawan tahunan Kementerian Kewangan tidak selari dengan hasrat dan keperluan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Malah, semenjak beberapa tahun lepas, belanjawan tahunan kurang berkait dengan perancangan untuk menjayakan RMK-12 dan ini adalah amat penting untuk pembangunan dan masa depan negara," katanya.
Tambah beliau, satu formula tidak boleh digunapakai untuk semua negara. Malaysia adalah unik dan mempunyai masalah tersendiri, berbeza dan masalah negara ini yang paling utama adalah dari segi kepimpinan dan struktur ekonomi berbanding dengan negara-negara lain. - DagangNews.com








