CAB Cakaran catat untung bersih RM107 juta pada FY23, melonjak 85.8% | DagangNews Skip to main content

CAB Cakaran catat untung bersih RM107 juta pada FY23, melonjak 85.8%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - CAB Cakaran Corporation Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM107 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023 (FY23), melonjak 85.8% berbanding RM57.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Prestasi yang lebih baik didorong oleh peningkatan permintaan, peningkatan harga jualan dan penurunan kos pengeluaran. 

 

Sementara itu, pendapatan FY23 meningkat 14.9% kepada RM2.25 bilion daripada RM1.95 bilion pada FY22, tertinggi dalam sejarah operasi kumpulan.

 

Bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 (4QFY23), CAB melaporkan keuntungan bersih RM10.7 juta, melonjak 39.5% daripada RM7.68 juta setahun lalu. 

 

Pendapatannya bagi suku dalam tinjauan pula meningkat 12.5% kepada RM557 juta daripada RM495.5 juta setahun lalu.

 

Keuntungan bersih CAB mungkin lebih tinggi jika tidak termasuk perbelanjaan cukai tertunda sebanyak RM14.36 juta pada 4QFY23, yang terutamanya disebabkan oleh penggunaan penuh kredit cukai tertentu.

 

Kedudukan kewangan Kumpulan semakin kukuh, dengan kedudukan tunai CAB meningkat 51.4% kepada RM163 juta pada 30 September 2023 daripada RM107.68 juta tahun sebelumnya.

 

Dengan prestasi rekod CAB, nisbah harga kepada pendapatan (P/E) kini turun kepada kira-kira 4.7 kali, diskaun yang besar berbanding rakan industrinya yang kini berdagang pada julat 8 kali hingga 9 kali.

 

Pengarah Urusan Kumpulan CAB Cakaran Corporation Berhad, Christopher Chuah Hoon Phong berkata prestasi FY23 mencerminkan komitmen berterusan kumpulan terhadap kecekapan operasi, skala ekonomi yang lebih baik dan pertumbuhan jangka panjang yang mampan. 

 

 

 Christopher Chuah Hoon Phong
Christopher Chuah Hoon Phong

 

 

Menurut beliau, ini merupakan keuntungan bersih tahunan tertinggi dalam sejarah lebih 40 tahun kami, dan tahun kedua di mana kumpulan telah mencatatkan rekod hasil baharu.

 

"Kami kini berusaha untuk mempercepatkan pertumbuhan melalui penggabungan dan pengambilalihan strategik merentasi industri makanan,"  katanya.

 

Tambahnya, kumpulan tersebut akan memperluaskan pasaran Indonesia pada 2024 selepas kelewatan beberapa tahun akibat COVID-19.

 

"Kami tetap teruja terhadap usahasama kami dengan Kumpulan Salim di Indonesia, yang juga merupakan rakan kongsi dan pemegang saham kami. 

 

"Indonesia, dengan saiz populasinya, merupakan pasaran yang sangat penting dilihat sebagai enjin pertumbuhan CAB seterusnya," katanya. - DagangNews.com