Bursa Malaysia tarik balik status `penerbit terjejas' Malaysian Genomics | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia tarik balik status `penerbit terjejas' Malaysian Genomics

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Jun - Pakar genomik dan biofarmaseutikal terkemuka, Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (Malaysian Genomics) mengumumkan bahawa ia ditarik balik daripada diklasifikasikan sebagai syarikat tersenarai awam terjejas berkuat kuasa 13 Jun 2022.

 

Ini berikutan keputusan Bursa Securities Malaysia Berhad untuk memberikan pengecualian kepada kumpulan dalam mengemukakan pelan regularisasi selepas diklasifikasikan sebagai syarikat tersenarai awam terjejas menurut Peraturan 8.03A Keperluan Penyenaraian. 

 

Bursa Securities telah membuat klasifikasi mengikut Peraturan 8.03A pada 24 Disember 2019 dan Malaysian Genomics telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kelulusan bagi mengecualikan kumpulan daripada mengemukakan cadangan pelan regularisasi pada 24 Mac 2022. Kelulusan tersebut telah diberikan pada 10 Jun 2022.

 

Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Azri Azerai berkata, beliau amat berterima kasih kepada pasukan atas kegigihan untuk mengeluarkan Malaysian Genomics daripada status klasifikasi penerbit yang terjejas dan mengalu-alukan berita ini daripada pengawal selia. 

 

"Kepelbagaian kami ke dalam perkhidmatan biofarmaseutikal, khususnya pengedaran imunoterapi dan terapi sel, telah menyokong prestasi kewangan kumpulan. Saya percaya kita boleh berkembang bersama, sebagai satu pasukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pengumuman terbaharu prestasi suku ketiga 2022 (S3 2022), Malaysian Genomics melaporkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.96 juta berbanding PBT sebanyak RM0.2 juta pada S3 2021. 

 

Pendapatan sesaham (EPS) berada pada 1.60 sen bagi S3 2022 berbanding EPS sebanyak 0.19 sen pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

 

 

mgrc
Azri Azerai

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics, Sasha Nordin pula berkata, mereka tidak sabar-sabar untuk memperkenalkan produk dan pasaran baharu dalam masa terdekat.

 

"Kami akan terus mencari peluang melalui kerjasama dan perkongsian yang menyasarkan pengguna dan segmen pasaran baharu, termasuk di luar Malaysia, sambil kami berusaha untuk meluaskan jangkauan kami dan memanfaatkan peningkatan kesedaran tentang isu kesihatan di seluruh rantau dan lebih jauh," katanya.

 

 

mgrc
Sasha Nordin (kiri) dan Datuk Alvin Nesakumar

 

 

Pengarah Eksekutif MGRC, Datuk Alvin Nesakumar berkata mereka juga bergerak ke arah menawarkan produk dan perkhidmatannya melalui penggunaan `strategi perniagaan kepada pengguna’ untuk melengkapkan pendekatan `perniagaan kepada perniagaan’ kerana trend sudah berubah dan teknologi membolehkan mereka mendekati pengguna secara langsung. 

 

"Pendekatan baharu ini akan memberi kita gambaran yang lebih baik tentang keperluan pasaran," katanya. - DagangNews.com