Bursa Malaysia lancar Bursa Reach, platform rapatkan jurang antara pelabur, remisier | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia lancar Bursa Reach, platform rapatkan jurang antara pelabur, remisier

KUALA LUMPUR 7 Mei - Bursa Malaysia Bhd memperkenalkan platform pemprofilan pertama Malaysia yang melangkaui saluran tradisional dengan memudahkan hubungan yang lebih baik antara wakil peniaga dan pelabur.

 

Bursa Malaysia berkata, platform itu dikenali sebagai Hab Pemerolehan Remisier Bursa (Bursa Reach) adalah tawaran baharu yang memberikan pelabur akses yang lebih luas kepada peluang pelaburan.

 

"Melalui platform ini, remisier yang dicalonkan serta wakil peniaga boleh mempamerkan kepakaran pelaburan mereka secara menarik, membolehkan mereka membina profil terperinci yang menonjolkan pengalaman, kelayakan dan strategi pelaburan masing-masing.

 

"Ketelusan ini membantu membina kepercayaan, selain menarik minat bakal pelabur yang lebih luas dan membolehkan bakal pelabur mencari kesesuaian berdasarkan keperluan pelaburan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menerusi Bursa Reach, pelabur boleh mendapat maklumat secara terus mengenai aktiviti pelaburan terkini wakil peniaga mereka, berhubung dengan wakil termasuk meneroka portfolio mereka, menapis idea pelaburan serta membuat keputusan pelaburan termaklum berdasarkan gaya pelaburan dan selera risiko.

 

Platform ini adalah percuma dan terbuka kepada semua organisasi yang mengambil bahagian serta orang ramai yang melabur.

 

Jelas Bursa Malaysia, ia kini mempunyai 31 wakil peniaga daripada empat organisasi yang mengambil bahagian seperti AmInvestment Bank Bhd, BIMB Securities Sdn Bhd, Malacca Securities Sdn Bhd dan Phillip Capital Sdn Bhd.

 

umar
MUHAMMAD UMAR SWIFT

 

Platform Bursa Reach mengalu-alukan lebih banyak organisasi yang mengambil bahagian untuk mencalonkan dan memprofilkan wakil peniaga mereka, bagi meluaskan penyertaan serta meningkatkan aktiviti pasaran untuk kerancakan pasaran modal yang lebih besar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata pelancaran Bursa Reach menekankan komitmen bursa terhadap pertumbuhan pasaran selain menyokong keperluan pelabur yang semakin berkembang.

 

"Dengan menawarkan penyelesaian inovatif dan memupuk keterangkuman, kami mewujudkan pasaran modal yang bertenaga, boleh diakses oleh semua," ujarnya. - DagangNews.com