Video Tular: Bukan tukar bungkusan beras, tetapi ganti kampit berhabuk - Jasmine Food | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Video Tular: Bukan tukar bungkusan beras, tetapi ganti kampit berhabuk - Jasmine Food

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Sept - Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (JFC) menafikan video tular di media sosial yang mendakwa beras tempatan telah dibungkus semula menjadi beras import.

 

JFC berkata, pihaknya mengesahkan video yang tular itu telah dirakam di dalam kilang Jasmine di Tunjang, Alor Setar, Kedah pada 2 September 2023.

 

Menurutnya, syarikat itu memandang serius penularan video tersebut dan dakwaan beras tempatan telah dibungkus semula menjadi beras import.

 

"Dakwaan bahawa bungkusan beras yang dibuka merupakan beras tempatan seperti yang dinyatakan di dalam video tersebut adalah tidak benar. Sebaliknya ia adalah Beras Putih Import (BPI).

 

"Pembungkusan semula BPI merupakan satu proses normal apabila berlaku kejadian kampit pecah atau beras berhabuk sewaktu kampit beras berada di kedai dan pasar raya.

 

"Proses ini dibuat untuk memastikan kualiti beras keluaran JFC sentiasa berada di dalam keadaan yang baik sewaktu dibeli oleh pelanggan kami," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

JFC berkata, pihaknya mengamalkan polisi gantian semula kepada pemborong bagi beras-beras yang tidak menepati kualiti dan mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

 

 

jfc
JFC mengesahkan video yang tular itu dirakam di dalam kilang Jasmine di Tunjang, Alor Setar, Kedah pada 2 September 2023.

 

 

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kekeliruan.

 

"Pihak JFC tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba memburukkan nama baik syarikat," katanya. - DagangNews.com