KUALA LUMPUR 24 Ogos - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Boustead Plantations Bhd. dengan harga sasaran lebih rendah pada 95 sen selepas menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23.
Ini berikutan pengeluaran tandan buah segar diunjur mendatar bagi FY22 sebanyak 1.5% daripada anggaran 5% sebelum ini dan ia dijangka susut sehingga 5.5% pada FY23.
Susulan itu, unjuran pendapatan bagi FY22 dan FY23 masing-masing dikurangkan sebanyak 4.6% dan 3.4%.
Menurutnya, jika hasil tandan buah segar kekal tidak berubah, kumpulan mungkin menghadapi kesukaran untuk menyebarkan kos tetapnya ke seluruh pengeluaran.
"Walaupun harga semakin berkurangan, tetapi kos baja kekal meningkat kerana bekalan global terus merasai kesan gangguan rantaian bekalan global.
"Secara dasarnya, kami tidak menjangkakan peningkatan besar dalam kos, namun margin mungkin kekal ketat ika hasil jatuh di bawah anggaran kami," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, firma itu mengunjurkan harga minyak sawit mentah kekal kukuh sepanjang tahun ini, meskipun lebih rendah pada RM4,000 satu tan metrik.
Harga minyak sawit mentah melonjak pada suku kedua 2022 apabila Indonesia menghentikan eksport buat seketika, tetapi kemudiannya jatuh mendadak sejak eksport disambung semula.
"Namun begitu, prospek bekalan minyak makan global pada separuh kedua terus ketat apabila kesan gangguan rantaian bekalan global berterusan.
"Dengan mengambil kira prospek makroekonomi semasa, bekalan global hanya dijangka pulih paling awal pada separuh pertama 2023, justeru, harga minyak sawit mentah pada tahun hadapan dijangka kekal pada paras RM4,000 satu tan metrik," jelasnya.
Boustead Plantations merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM73.22 juta pada suku kedua berakhir
30 Jun 2022, meningkat 51% daripada RM48.38 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lepas.
Pendapatan meningkat 44% kepada RM348.96 juta daripada RM242.78 juta sebelum ini disebabkan kenaikan harga produk sawit, yang membawa kepada keuntungan daripada operasi sebanyak RM112.5 juta.
Secara keseluruhan, Kenanga Research terus menyukai saham Boustead Plantations kerana dividennya yang besar dan aliran tunai yang dijangka kukuh sepanjang FY22 dan FY23.
"Bagaimanapun, kumpulan akan terus merasakan kesan daripada profil pokok sawit mereka yang semakin tua dan sebarang penambahbaikan daripada penanaman semula yang dipercepatkan masih mengambil masa beberapa tahun," katanya. - DagangNews.com








