BNM sumbang RM2.85 bilion dividen kepada kerajaan pada 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM sumbang RM2.85 bilion dividen kepada kerajaan pada 2023

Pada 2023, BNM meraih pendapatan lebih tinggi sebanyak RM8.77 bilion berbanding RM8.52 bilion pada 2022. - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) menyumbang sejumlah RM2.85 bilion dividen kepada kerajaan bagi tahun kewangan 2023, 5.6% lebih tinggi daripada RM2.7 bilion yang diisytihar pada 2022.

 

Bank pusat itu dalam Laporan Tahunan 2023 berkata, keuntungan bersihnya selepas cukai berjumlah RM7.16 bilion, lebih tinggi daripada RM6.99 bilion tahun sebelumnya.

 

BNM berkata, daripada jumlah keuntungan bersih selepas cukai itu, sebanyak RM4.31 bilion telah dipindahkan ke Rizab Risiko Bank, yang kini berjumlah RM150.06 bilion setakat 31 Disember 2023, melonjak 28.7% daripada RM116.61 bilion yang dicatat pada tahun sebelumnya.

 

“Memandangkan rizab antarabangsa adalah dalam mata wang asing, adalah penting bagi BNM untuk memastikan Rizab Risiko mencukupi untuk mengimbangi ketidaktentuan pasaran kewangan dan turun naik dalam kadar pertukaran asing,” katanya dalam laporan tersebut yang diterbitkan hari ini.

 

Pada 2023, BNM meraih pendapatan lebih tinggi sebanyak RM8.77 bilion berbanding RM8.52 bilion sebelumnya.

 

Daripada jumlah pendapatan itu, bank pusat mengeluarkan perbelanjaan berulang dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM1.57 bilion pada 2023 berbanding RM1.48 bilion tahun sebelumnya.

 

Perbelanjaan berulang merangkumi kos kakitangan, operasi mata wang, teknologi maklumat, utiliti dan penyelenggaraan serta perbelanjaan am dan pentadbiran.

 

Sementara itu, perbelanjaan pembangunan membiayai projek pembangunan dan projek jangka panjang yang dilaksanakan oleh BNM selaras dengan matlamat dan fungsi utama BNM

 

Jumlah aset BNM pula meningkat 1.97% kepada RM631.26 bilion daripada RM619.04 bilion dalam tahun sebelumnya.

 

Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar iaitu 83% terdiri daripada Rizab Antarabangsa yang berjumlah RM486.8 bilion, lebih rendah daripada RM503.3 bilion pada 2022.

 

Sementara itu, liabiliti bank pusat itu berpunca terutamanya daripada deposit oleh institusi kewangan dan mata wang dalam edaran, yang masing-masing berjumlah RM176.66 bilion dan RM161.82 bilion. - DagangNews.com