BNM : Pengeluaran simpanan persaraan selanjutnya, tingkatkan kelemahan kewangan isi rumah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM : Pengeluaran simpanan persaraan selanjutnya, tingkatkan kelemahan kewangan isi rumah

KUALA LUMPUR 30 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan terdapat kebimbangan terhadap daya tahan beberapa segmen peminjam isi rumah yang mempunyai leveraj tinggi dan penampan kewangan rendah, situasi yang hanya boleh ditangani menerusi pembaharuan pasaran buruh dan perlindungan sosial.

 

Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua yang dikeluarkan hari ini menunjukkan aset kewangan isi rumah meningkat pada kadar yang lebih sederhana (2.4%; Jun 2021: 5.3%) disebabkan prestasi pasaran ekuiti yang lebih lemah dan pengeluaran simpanan persaraan yang agak besar di bawah pelbagai kemudahan pengeluaran khas yang disediakan berikutan pandemik.

 

"Ujian tekanan yang dilakukan menunjukkan bahawa di bawah senario buruk kejutan pendapatan dan pekerjaan, antara 3.8% dan 4% pinjaman sistem perbankan mungkin berisiko mungkir menjelang akhir 2024 disebabkan oleh peminjam yang tidak mempunyai penampan kewangan mencukupi.

 

"Sebilangan besar (63.5%) peminjam berisiko ini memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM5,000," jelasnya seperti dilapor Bernama.

 

Menurut BNM, langkah-langkah bantuan untuk orang ramai dan bantuan bayaran balik pinjaman yang ditawarkan oleh bank-bank terus membantu isi rumah yang terbeban dari segi kewangan menghadapi dan menangani cabaran pendapatan dan pekerjaan.

 

Pada 2021, sebanyak 23,711 peminjam baharu telah mendaftar untuk Program Pengurusan Hutang di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang (AKPK) bagi memulihkan kedudukan kewangan mereka.

 

Selain itu, peminjam boleh mendapat manfaat daripada program sokongan nasihat dan pendidikan kewangan percuma di bawah program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) yang bertujuan untuk meningkatkan daya tahan kewangan jangka panjang.

 

Setakat 4 Mac 2022, sekitar 5,657 individu telah mendaftar bagi program URUS dengan jumlah dedahan pinjaman sebanyak RM2.7 bilion.

 

"Daripada jumlah ini, lebih kurang separuh peminjam dengan jumlah dedahan RM1.4 bilion adalah mereka yang kehilangan pekerjaan. 

 

"Selain URUS, bank-bank juga menawarkan pelbagai pakej bayaran balik pinjaman kepada peminjam yang disesuaikan dengan keadaan kewangan mereka," katanya.

 

Dalam pada itu, BNM berkata, pada masa hadapan, prospek ekonomi dan pekerjaan yang bertambah baik dijangka dapat menyokong keupayaan isi rumah secara keseluruhan untuk membayar hutang.

 

Bagaimanapun, maklumat terkini daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menekankan risiko jangka lebih panjang yang ketara terhadap daya tahan isi rumah.

 

Data KWSP menunjukkan, sekitar 6.1 juta ahli KWSP pada masa ini mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka yang mana daripada jumlah ini, 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000.

 

Menurut bank pusat, pengeluaran simpanan persaraan selanjutnya akan meningkatkan kelemahan kewangan isi rumah ini dalam jangka masa panjang memandangkan simpanan yang sedia ada tidak mencukupi untuk persaraan.

 

Risiko akan menjadi lebih tinggi bagi peminjam isi rumah yang masih mempunyai tempoh pinjaman yang berlanjutan selepas tempoh bersara dan peminjam isi rumah yang sudah bersara.

 

"Oleh itu, tindakan perlu diambil bagi memastikan isi rumah yang terjejas mempunyai kemampuan untuk membina semula penampan kewangan mereka secara beransur-ansur apabila ekonomi kembali pulih.

 

“Usaha-usaha kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan pasaran pekerja dan perlindungan sosial yang diperlukan merupakan langkah penting ke arah meningkatkan tahap pendapatan dan daya tahan isi rumah dalam jangka panjang,” katanya. - DagangNews.com