BNM : KDNK 2022 diunjur berkembang antara 5.3% hingga 6.3% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM : KDNK 2022 diunjur berkembang antara 5.3% hingga 6.3%

KUALA LUMPUR 30 Mac - Momentum kadar pemulihan ekonomi Malaysia diunjur terus meningkat berikutan pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa. 

 

Melalui pengurusan COVID-19 yang lebih baik dan kadar pemberian vaksin yang lebih tinggi, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan gangguan terhadap kegiatan ekonomi dan perbelanjaan dapat dikurangkan sekiranya berlaku penularan semula COVID-19.

 

Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada pengembangan permintaan global dengan pertumbuhan dijangka berkembang antara 5.3% hingga 6.3% pada 2022, menurut BNM dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 yang dikeluarkan hari ini.

 

Inflasi keseluruhan diunjurkan pada purata antara 2.2% hingga 3.2% pada tahun ini, walaupun kos input yang tinggi dijangka memberikan sedikit tekanan kepada harga makanan segar terpilih, tekanan ini sebahagiannya akan dikurangkan oleh kawalan harga. 

 

Sementara itu, purata inflasi teras dijangka lebih tinggi antara 2% hingga 3% pada tahun ini disebabkan keadaan permintaan yang bertambah baik dalam keadaan tekanan kos yang berlanjutan. 

 

Bagaimanapun, bank pusat berkata, kenaikan inflasi teras akan terus dibendung sebahagiannya oleh lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan pasaran pekerja.

 

"Keadaan pasaran pekerja dijangka bertambah baik pada tahun ini apabila kegiatan ekonomi semakin meningkat. 

 

"Kadar pengangguran dijangka terus menurun kepada sekitar 4% daripada tenaga kerja. Pemulihan yang berterusan dalam pekerjaan dan pendapatan dijangka mendorong peningkatan dalam perbelanjaan isi rumah," jelasnya.

 

Menurut BNM, dasar monetari akan kekal akomodatif untuk menyokong pemulihan ekonomi yang mampan di samping memastikan kestabilan harga. 

 

Malah, bank pusat juga sedar akan akibat mengekalkan kadar faedah yang rendah untuk tempoh yang berpanjangan. 

 

"Memandangkan prospek inflasi sebahagian besarnya akan terus didorong oleh faktor-faktor penawaran, BNM akan memantau dengan rapi sebarang tanda yang berpotensi mendorong kepada kesan pusingan kedua sekiranya tekanan harga menjadi lebih ketara berikutan pemulihan permintaan dalam negeri. 

 

"Akhirnya, sebarang potensi pelarasan terhadap tahap akomodatif dasar monetari akan terus berteraskan data serta akan dilaksanakan secara berhati-hati dan beransur-ansur, setara dengan tahap sokongan yang diperlukan oleh ekonomi," katanya. - DagangNews.com