BNM hanya akan menaikkan OPR kepada 3% pada separuh kedua ini, kata penganalisis ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM hanya akan menaikkan OPR kepada 3% pada separuh kedua ini, kata penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Jan - Perkembangan ekonomi domestik akan menjadi penentu kepada sebarang kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

Ini memandangkan bank pusat itu menekankan risiko penurunan yang ketara mungkin terdapat peralihan daripada pertumbuhan global yang semakin perlahan, demikian menurut Public Investment Bank Research. 

 

Dalam erti kata lain, firma itu percaya penekanan telah berubah sedikit kepada menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam mandat BNM untuk mencapai keseimbangan antara inflasi yang stabil dan pertumbuhan ekonomi.

 

"Oleh itu, kami berpendapat BNM berkemungkinan akan berhenti seketika (kenaikan ini) dan mengekalkan OPR tidak berubah pada 2.75% pada mesyuarat MPC, Mac dan Mei ini.

 

"Bagaimanapun, sebarang keputusan yang diambil kelak, akan bergantung kepada data dengan kemungkinan kenaikan lagi 25 mata asas (bps) kepada 3% pada separuh kedua 2023. 

 

"Namun, ini bergantung kepada dasar-dasar yang dilaksanakan di peringkat domestik, seperti kemungkinan pengenalan subsidi bersasar bahan api dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

BNM

 

 

Semalam, BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75% selepas empat kenaikan secara berturut-turut sepanjang tahun lalu.

 

Ia mula menaikkan OPR bermula Mei, Julai, September dan November lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 bps kepada 2.75% berbanding paras rekod terendah 1.75% sebelumnya.

 

Dari segi inflasi, bank pusat itu memberi panduan inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka sederhana namun kekal pada tahap tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos yang berlarutan. 

 

Bagi tempoh Januari hingga November 2022, inflasi mencapai purata sebanyak 3.4% berbanding 2.4% bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala purata inflasi asas mencecah 2.9% hingga November 2022.

 

Selepas kenaikan empat kali berturut-turut tahun lalu, BNM memberi panduan sebarang normalisasi selanjutnya akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

 

Sementara itu, Kenanga Research percaya, keputusan BNM itu adalah isyarat untuk menghentikan kitaran normalisasi semasa yang bermula pada Mei lalu.

 

"Ini berdasarkan kepada kenyataan 'MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan' seperti dalam kenyataan BNM semalam. 

 

"Tetapi, sekiranya tiada kejutan yang tidak dijangka atau peralihan dasar utama, kami menjangkakan OPR akan kekal tidak berubah pada 2.75% untuk sepanjang tahun ini," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

UOB Global Economics & Markets Research pula berpendapat BNM mungkin bertahan lebih lama ekoran cabaran yang semakin meningkat untuk bank pusat mendaki lebih jauh dalam jangka masa terdekat dan menormalkan dasar monetarinya kembali ke tahap sebelum pandemik.

 

Dari segi luaran, menurutnya, prospek pertumbuhan global menjadi lebih malap dengan ekonomi maju diunjur jatuh ke dalam kemelesetan tahun ini.

 

Di dalam negara, katanya, momentum pertumbuhan yang menyederhana dan potensi perubahan kepada dasar domestik mengenai subsidi dan kawalan harga dilihat menghalang sebarang pelarasan menaik selanjutnya dalam kadar dasar monetari, yang akan memberi tekanan ke atas kos sara hidup dan komitmen bulanan isi rumah.

 

"Kami kini menjangkakan BNM akan menurunkan kenaikan kadar kepada 25 bps kepada 3% menjelang pertengahan 2023 (berbanding kenaikan 50bps kepada 3.25% pada suku pertama 2023).

 

"Selepas itu, bank pusat akan menghentikan kenaikan kadar ini sepanjang tahun ini," katanya. -DagangNews.com