BN, PN bertemu runding bentuk kerajaan Persekutuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BN, PN bertemu runding bentuk kerajaan Persekutuan

BN, PN bertemu runding bentuk kerajaan tiba di sebuah hotel di ibu negara, dipercayai untuk bertemu PN. - Gambar FMT

KUALA LUMPUR 23 Nov - Buat julung kali pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hari ini bertemu dipercayai bagi merungkai kemelut politik negara yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.

 

Pertemuan di Hotel St Regis, di sini itu bermula petang ini dipercayai bagi membincangkan kerjasama bagi membentuk kerajaan Persekutuan sekali gus memilih Perdana Menteri ke-10.

 

Ia dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden UMNO yang tiba pada jam 2.57 petang.

 

Ditanya media mengenai mesyuarat apa yang akan dihadirinya, beliau hanya berkata, "Tak tahu lagi."

 

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, kemudian tiba di hotel berkenaan pada jam 3.04 petang.

 

Ia diikuti Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zaimuddin pada jam 3.15 petang.

 

Petugas media berkumpul di hotel berkenaan sejak jam 10 pagi selepas mendapat maklumat terdapat satu pertemuan akan berlangsung di sini, didakwa antara pemimpin BN dan PN. - DagangNews.com