BloomThis lancarkan sebuah lagi kedai bunga dan cenderahati fizikal dalam usaha melangkaui ruang E-Dagang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BloomThis lancarkan sebuah lagi kedai bunga dan cenderahati fizikal dalam usaha melangkaui ruang E-Dagang

Pengasas bersama BloomThis, Giden Lim dan Penny Choo pada majlis pelancaran kedai fizikal BloomThis di Petaling Jaya pada 22 Jun 2023.

KUALA LUMPUR 23 Jun – BloomThis, platform jualan cenderahati secara atas permintaan di Malaysia mengumumkan pembukaan kedai fizikal terbaharu yang terletak di ibu pejabat syarikat di Petaling Jaya.

 

Meraikan ulang tahun kelapan operasi perniagaan, BloomThis terus berkembang maju dengan menceburi jualan runcit secara fizikal, menerusi pengalaman membeli yang mudah dan menyeluruh kepada pelanggan.

 

Pelancaran kedai fizikal terbaharu ini merupakan satu lagi detik bermakna dalam strategi pengembangan BloomThis kerana ia memperhebatkan pengalaman berurusan dengan jenama BloomThis untuk komuniti pelanggannya yang dikenali sebagai Bloomies, rakan-rakan kongsi dan pihak-pihak berkepentingan lain.

 

Ketika BloomThis mengembangkan perniagaan melangkaui ruang digital, kedai fizikal ini menzahirkan komitmen jenama ini untuk memupuk rasa kebersamaan dalam kalangan komunitinya dan memberikan sentuhan peribadi dalam sebuah dunia yang semakin lama semakin bersifat digital.

 

Pelancaran kedai jualan runcit fizikal ini selaras dengan visi BloomThis dalam mendefinisikan semula seni memberi hadiah dan gubahan bunga menerusi pengalaman yang diperibadikan untuk pelanggan.


 

bloomthis

 


Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif BloomThis, Giden Lim berkata, pihaknya menyedari kepentingan untuk berurus niaga dengan pelanggan secara bersemuka selepas syarikat bertapak kukuh dalam landskap e-dagang.

 

"Kedai fizikal ini menjadi penanda kepada misi kami untuk mewujudkan hubungan yang lebih mendalam dengan masyarakat dan memperhebat interaksi mereka dengan BloomThis,” ujarnya.

 

Hasrat tersebut dizahirkan menerusi pelancaran kedai fizikal pertama BloomThis pada Mac lalu dengan kerjasama KPJ Healthcare.

 

Langkah tersebut menandakan komitmen BloomThis untuk mempelbagaikan saluran pengedarannya dan memberikan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggan, memenuhi aspek permintaan yang sentiasa berevolusi dan tingkah laku pengguna yang sentiasa berubah, terutamanya selepas COVID-19.

 

Pelan perniagaan strategik ini akan membolehkan BloomThis mengembangkan pelaburannya melangkaui portfolio e-dagang sedia ada dengan membuka cawangan kedai fizikal tambahan bagi mengukuhkan kehadiran pasaran syarikat dan komitmen BloomThis untuk memenuhi keperluan dan pilihan pelanggan di pelbagai lokasi.

 

BloomThis yang juga diiktiraf sebagai satu daripada syarikat Endeavor Malaysia, menyimpan matlamat untuk memanfaatkan kedai fizikal terbaharunya bagi melonjakkan jualan sebanyak dua kali ganda dan meluaskan jumlah pelanggannya, sekali gus meluaskan dan mengembangkan BloomThis ke tahap seterusnya.

 

Objektif ini bersifat serampang dua mata iaitu untuk meningkatkan jualan dan memupuk perkembangan syarikat pada masa hadapan.

 

“Selain daripada mencipta pengalaman membeli-belah yang menarik untuk pelanggan, lokasi kedai fizikal baharu kami akan turut menampilkan tawaran uniknya sendiri. Ia direka bentuk dengan teliti untuk menyerlahkan keanggunan dan gaya, dan akan berfungsi sebagai satu manifestasi fizikal kepada komitmen BloomThis untuk menyediakan pengalaman pelanggan yang luar biasa.”

 

"Cabaran mengharungi pandemik COVID-19 membuka mata kami untuk mengiktiraf nilai dalam hubungan manusia dan kami mahu menyediakan sebuah ruang untuk pelanggan kami meneliti tawaran-tawaran kami secara langsung dan merasai sendiri keajaiban BloomThis”, katanya lagi.

 

Selain daripada mempamerkan rekaan BloomThis yang unik, ruang runcit kedai fizikal ini juga akan berfungsi sebagai platform untuk kerjasama dan penglibatan komuniti. BloomThis merancang untuk menganjurkan pelbagai bengkel dan acara, serta menjemput pelanggan untuk mengekspresikan kreativiti mereka dan belajar daripada pakar-pakar gubahan bunga. - DagangNews.com