BigPay tambah baik keupayaan transaksi mudahkan pengguna | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BigPay tambah baik keupayaan transaksi mudahkan pengguna

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - BigPay memperkenalkan penambahbaikan keupayaan pengkategorian transaksinya yang dimajukan oleh Snowdrop Solution, pemenang anugerah Google Maps & Cloud Premier Partner.

 

Ini juga menandakan fasa pertama peningkatan aplikasi BigPay dengan elemen reka bentuk baharu dan pengalaman dalam beberapa bulan akan datang.

 

Setiap transaksi di dalam aplikasi tersebut akan memaparkan dengan jelas nama pedagang, logo, maklumat untuk dihubungi dan diatur di bawah sistem pengkategorian untuk jenis perbelanjaan yang berbeza. 

 

Penambahbaikan itu membolehkan pengguna melihat dan memahami maklumat dengan lebih baik berkenaan transaksi kad dan tabiat perbelanjaan dengan sepintas lalu.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif BigPay, Salim Dhanani berkata, misi syarikat adalah memperjuangkan kesejahteraan dan pendidikan kewangan.

 

“Peningkatan reka bentuk aplikasi yang dijalankan mengekalkan misi syarikat bermula dengan meningkatkan pengkategorian transaksi yang dikuasakan oleh Snowdrop,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Snowdrop Solutions Ltd di London, Ken Hart berkata, kerjasama tersebut adalah garis komitmen Snowdrop untuk menyediakan kadar padanan dan ketepatan yang tinggi merentas semua perbankan miliknya dan pelanggan pelancongan.

 

"Snowdrop dan BigPay juga akan bekerjasama rapat untuk membawa keupayaan baharu tambahan kepada pangkalan pelanggan BigPay dari semasa ke semasa di seluruh rantau utama ini,” jelasnya.

 

BigPay sebagai syarikat fintech terkemuka di Asia Tenggara menyediakan rangkaian lengkap produk dan perkhidmatan kewangan di seluruh rantau ini seperti akaun e-wang dengan debit Visa untuk perbelanjaan domestik dan antarabangsa, pinjaman peribadi, simpanan, pemindahan wang, analisis perbelanjaan dan banyak lagi pada masa hadapan. 

 

Ia bekerjasama dengan Snowdrop untuk menggunakan perkhidmatan transaksi baharu dalam masa beberapa minggu sahaja melalui penggunaan API Sistem Penyesuaian Pedagang milik Snowdrop iaitu MRS.

 

Kedua-dua syarikat tersebut kini sedang menilai penambahan keupayaan selanjutnya yang dikuasakan oleh perkhidmatan berdasarkan lokasi yang membolehkan pengguna untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan untuk mengelakkan penipuan. – DagangNews.com