KUALA LUMPUR 24 Ogos - BidNow Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berhubung kerjasama antara dua entiti tersebut dalam bidang teknologi, keselamatan siber dan sains data.
Pemeteraian kerjasama itu disaksikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Ketua Pegawai Eksekutif BidNow, Frankie Goh Chee Keong berkata, ia merupakan usaha sama menyeluruh antara BidNow dan UTM yang akan bermula dengan membangunkan penyelesaian dan platform teknologi berkaitan keselamatan siber.
Beliau berkata, ia antaranya termasuk teknologi Augmented Reality [Realiti Terimbuh] (AR) dan Virtual Reality [Realiti Maya] (VR), teknologi Web 3.0 dan juga bidang-bidang yang berkaitan dengan Analisis Data dan Sains Data.
“Isu keselamatan siber kini menjadi topik yang semakin mendapatkan perhatian organisasi bertumpukan teknologi, sambil kita memasuki dunia Web 3.0, yang melibatkan teknologi sedang berkembang seperti AR dan VR.
"Menyedari hakikat ini, isu keselamatan siber menjadi keutamaan, menjadikan gambaran keseluruhan lebih rumit dalam usaha kita memastikan rangkaian dan data kita selamat untuk aplikasi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Usaha sama ini ialah penglibatan pertama UTM dalam platform teknologi e-lelongan/bida, dan sekali gus menandakan mercu jaya penting untuk UTM dan juga BidNow bagi pengkomersialan produk dalam bidang sains digital dan teknologi.

Kerjasama turut meliputi bidang lain seperti reka bentuk kurikulum, penyelidikan, inovasi, keusahawanan dan tanggungjawab sosial. Produk yang dihasilkan daripada pakatan ini akan dipromosikan dan dipasarkan bersama, yang juga akan melibatkan pengkomersialan produk penyelidikan UTM.
Dalam pada itu, kerjasama ini juga akan memberi peluang kepada kakitangan BidNow dan anak-anak syarikatnya untuk mengikuti program ijazah dan bukan ijazah, dan juga program pertukaran akademik dan kepimpinan di universiti.
Di samping itu, ahli-ahli akademik dan pelajar UTM berpeluang untuk menimba pengalaman dalam industri dan juga menjalani latihan amali dan mendapatkan bimbingan di BidNow dan anak-anak syarikatnya.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi pula berkata, pihaknya mengalu-alukan peluang usaha sama ini, yang membolehkan mereka menyumbang kepakaran dan penyelidikannya.
"Baru-baru ini kami menjalankan kajian mendalam terutamanya dalam bidang Web 3.0 dan juga keselamatan siber dan berharap untuk menggunakan hasil kajian kami untuk menyediakan penyelesaian kukuh bagi BidNow, sambil bekerjasama dalam penyelidikan dunia sebenar, bukan sahaja demi manfaat universiti, tetapi juga untuk BidNow dan manusia sejagat," katanya. - DagangNews.com







