KUALA LUMPUR 15 Jun - Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) Betamek Berhad bekerjasama dengan Shenzen Zhonghong Technology Co Ltd (SZH) bagi meneroka peluang pertumbuhan dalam industri automotif ASEAN.
Kumpulan itu berkata, mereka telah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan syarikat itu bagi membangunkan sistem bantuan pemandu termaju, dan sistem kokpit automotif.
Kedua-dua pihak akan membangunkan rangkaian produk inovatif baharu yang menggabungkan Internet Kebendaan (IoT) dan sistem elektronik dan digital untuk pasaran kenderaan elektrik (EV) yang semakin berkembang.
MOU itu berkuat kuasa untuk tempoh setahun, yang akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama untuk menjana harta intelek baharu selain berpotensi membangun serta memasarkan produk akhir.
SZH telah diperbadankan di China sebagai syarikat sendirian berhad yang memberi fokus kepada penyelidikan dan pembangunan serta perisian serta teknologi perkakasan produk elektronik automotif yang inovatif.
Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Mahathir berkata, kedua-dua syarikat itu sudah bekerjasama lebih daripada 15 tahun dalam bidang reka bentuk dan pembangunan infotainmen dalam kenderaan dan produk panel kawalan Heacon.
“Memandangkan pendigitalan menjadi lebih menonjol dalam kenderaan baharu dan segmen EV yang semakin berkembang, kami berharap dapat menyediakan lebih banyak penyelesaian nilai tambah dalam perniagaan teras ini, dan mengembangkan jejak kami dalam ruang automotif serantau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selepas menandatangani perjanjian itu, satu entiti bersama akan dibentuk untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing, sebagai cabang pemasaran dan hab perkhidmatan yang menyasarkan pasaran ASEAN yang lebih luas. - DagangNews.com








