KUALA LUMPUR 25 Mei – Penyedia Perkhidmatan Pembuatan Elektronik (EMS) Betamek Berhad mencatat keuntungan bersih sebanyak RM5.7 juta daripada perolehan sebanyak RM55.9 juta pada 4QFY23 dan 12
bulan berakhir 31 Mac 2023 (FY23).
Perolehan sesaham (EPS) bagi suku tahunan tersebut ialah 1.27 sen.
Ini merupakan prestasi suku tahunan tertinggi dicatat oleh Betamek sejak syarikat itu disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada Oktober 2022.
Bagi FY23, Betamek mencatat keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM16.3 juta dan hasil sebanyak RM205.7 juta. EPS berada di paras 3.61 sen.
Tiada angka perbandingan untuk keputusan suku tahun sebelumnya yang sepadan kerana ini adalah laporan kewangan interim ketiga yang diumumkan oleh syarikat dalam mematuhi keperluan penyenaraian Bursa Securities.
Pendapatan Betamek untuk 4QFY23 dan FY23 terutamanya datang daripada segmen produk AV kenderaannya yang menyumbang RM44.7 juta dan RM163.4 juta, masing-masingnya mewakili 79.8% dan 79.4% daripada pendapatan suku tahunan dan kumulatif.
Mengulas mengenai keputusan kewangan, Mirzan Bin Mahathir, Pengarah Urusan Betamek, berkata normalisasi harga bahan mentah dan penstabilan Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat pada 4FY23 telah meningkatkan margin keuntungan kasar syarikat untuk suku tersebut kepada 19.9%.
"Keuntungan 4QFYK23 kami juga telah meningkat dengan ketara disebabkan kawalan syarikat yang lebih baik terhadap kos operasi dan kewangan dan perbelanjaan penyenaraian tidak berulang sebanyak RM2.89 juta yang dicaj kepada untung rugi dalam 3QFYK23," tambahnya.
Mengenai prospek, Mirzan yakin bahawa permintaan untuk produk kenderaan AV dan aksesori kenderaan syarikat akan terus berkembang.
"Sifat pantas industri elektronik automotif bermakna produk sentiasa dihentikan dan digantikan sama ada dengan model baharu atau teknologi baharu.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pelanggan kami bagi memahami keperluan khusus mereka dan memanfaatkan teknologi terkini mengenai elektronik dan aksesori kenderaan.
“Pasukan penyelidikan dan pembangunan kami telah mengenal pasti produk baharu yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi, berdasarkan arah aliran pasaran dan keperluan pelanggan untuk beberapa tahun akan datang.
Bidang produk baharu termasuk aksesori baharu kenderaan penumpang, kluster instrumen canggih untuk dua roda dan ciri mewah baharu untuk platform infotainment kami,” tambah beliau lagi. - DagangNews.com








