Benarkah erti sebenar kemerdekaan kian luntur dalam sanubari rakyat Malaysia? | DagangNews Skip to main content

Benarkah erti sebenar kemerdekaan kian luntur dalam sanubari rakyat Malaysia?

Peserta sambutan Hari Kebangsaan 2023 mengadakan latihan di Putrajaya pada 24 Ogos 2023. - Gambar Perbadanan Putrajaya
Oleh Muhammad Syafi Fauzan Bin Saifuddin

KEMERDEKAAN Malaysia telah menjadi satu peristiwa paling bersejarah dan telah menyimpan seribu satu memori suka dan duka dalam proses mengecapinya. 31 Ogos 1957 menjadi tarikh keramat di mana negara secara rasmi bebas daripada cengkaman penjajah setelah sekian lamanya.

 

Istilah merdeka boleh ditakrifkan sebagai pengorbanan, sumbangan, keringat dan perjuangan yang tiada tolok bandingnya oleh semua lapisan masyarakat dalam usaha memerdekakan Tanah Melayu dengan menuntut hak daripada penjajah asing.

 

Jasa perwira sebelum ini sama sekali tidak boleh dilupakan dan perlu diiktiraf bukan sahaja apabila menjelangnya bulan bersejarah iaitu Ogos dan September semata-mata, namun kita sebagai rakyat Malaysia perlu sentiasa bersyukur dan berterima kasih dengan nikmat dan kesenangan yang kita kecapi pada hari ini.

 

Tahun ini merupakan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66 bertemakan 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' yang telah diumumkan oleh kerajaan.

 

Tema ini telah dipilih atas rasional untuk mendasari tekad pemimpin bersama rakyat bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara bangsa yang mempunyai semangat perpaduan yang tinggi serta bersatu padu dalam mewujudkan suasana aman dan harmoni.

 

Tidak dinafikan, sesuai dengan peredaran masa pasti ada yang akan mempersoalkan mengapa perlu digunakan lagi istilah merdeka sedangkan Malaysia kini sudah melangkau jauh ke hadapan dengan pembangunan yang kian berkembang pesat.

 

Jika ada anak watan kita pada hari ini yang mempunyai pemikiran perkara lama usah dikenang dan sikap acuh tidak acuh dalam memahami erti sebenar kemerdekaan, maka hancurlah  ideologi Malaysia yang telah lama diterapkan selama ini.


 

parafrasa

 


Sukar untuk kita mencari jawapan kepada setiap perlakuan dan pemikiran yang mencorakkan keperibadian masyarakat Malaysia untuk memahami erti sebenar merdeka terutama daripada aspek kerohanian seperti pemikiran dan jiwa mereka.

 

Di mana jiwa merdeka kita jika masih berbalah sesama sendiri hanya kerana sekelumit rasa tidak puas hati, dengki, cemburu terhadap kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki seseorang. Apa yang lebih teruk, sanggup menghina dek kerana sedikit kelemahan yang dilihat pada seseorang itu.

 

Luntur atau hilangnya semangat patriotik seseorang itu juga boleh dilihat apabila ia tidak lagi menghormati dan mematuhi undang-undang negara. Sekecil mana pun perkara yang ditetapkan, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang untuk mematuhinya.

 

Undang-undang ini digubal supaya Malaysia memiliki mekanisme perundangan yang baik untuk memelihara ketenteraman dan kesejahteraan awam.

 

Tidak mematuhi undang-undang negara juga boleh diibarat umpama melanggar dinding pertahanan negara kerana ia teras kepada penubuhan sesebuah negara berdaulat.

 

Malu jika kita mampu berkata kita sudah lama merdeka dan semakin maju ke hadapan jika kehidupan serta pemikiran kita masih sama di era komunis.

 

Oleh itu, jika perkara-perkara asas sebegini tidak segera ditangani di peringkat awal, ia akan menjadi racun berbisa kepada rakyat Malaysia yang pada akhirnya menjadikan negara mundur dan terjajah dengan sendiri oleh warganegaranya.


 

parafrasa
Kanak-kanak dididik dari peringkat tadika meraikan Hari Kebangsaan. - Gambar Tabika Kemas Pekan Lama

 


Bangga bergelar warga Malaysia bukan hanya sekadar tahu mengibarkan bendera dan bertutur bahasa kebangsaan semata-mata kerana ia adalah perkara yang sepatutnya semua rakyat Malaysia tahu apabila mereka bergelar anak Malaysia. Tidak perlu untuk diingatkan apatah lagi diminta-minta untuk melakukannya.

 

Pertuturan dan perlakuan yang baik, sopan santun, saling menghormati, bersikap rendah diri, menjaga keindahan dan kebersihan negara, tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan dan banyak lagi jika boleh disenaraikan merupakan antara perlakuan yang perlu sentiasa diterapkan oleh setiap individu yang bergelar rakyat Malaysia.

 

Nilai patriotisme juga merupakan salah satu daripada nilai murni yang sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia.

 

Pernahkah kita berfikir sejenak apa yang akan terjadi pada negara kita jika kita tidak menerapkan nilai patriotisme dalam diri masing-masing?

 

Lihat saja apa yang terjadi di negara-negara luar seperti konflik yang berlaku antara negara Iraq dan Afghanistan dan penjajahan Israel ke atas Palestin. Kesan daripada insiden tersebut, perkembangan negara tersebut terencat serta ketenteraman awam di sana sama sekali terganggu.

 

Apa yang boleh disimpulkan di sini, seluruh rakyat Malaysia pada masa kini mesti bersatu hati dalam memastikan Malaysia terus merdeka walau 100 tahun yang akan datang. Hal ini kerana, kemerdekaan dapat dicapai apabila semua masyarakat tanpa mengira latar belakang bersatu padu dalam mempertahankan tanah air tercinta ini daripada ancaman anasir luar.

 

Akhir kata, indah sesuatu negara itu kerana indah juga warganya. Jika buruk sesebuah negara itu, maka buruk juga penghuninya bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.


 

parafrasa

 


Justeru itu, usaha dalam menyemarakkan semangat cintakan negara harus diperhebat dalam kalangan masyarakat.

 

Mari kita bersama berganding bahu menghayati erti sebenar di sebalik perit mencapai sebuah kemerdekaan. Hanya dengan itu, kita akan berusaha mengekalkannya. - DagangNews.com

 

Muhammad Syafi Fauzan Bin Saifuddin adalah mahasiswa Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka