KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan dengan kadar segera pembaikan 400 klinik daif dan 380 sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk menyegerakan pelaksanaan projek, had sebut harga perolehan kerja pembaikan sekolah dan klinik daif ditingkatkan kepada RM1 juta berbanding RM500,000.
Sementara itu, katanya, perolehan secara cabut undi dinaikkan kepada RM200,000 berbanding RM100,000 sebelum ini.
"Tidak boleh diterima akal bahawa zaman sekarang rakyat masih terpaksa berdepan isu sekolah dan klinik daif.
"Saya tidak mahu perkara ini terus berlarutan. Kalau disebabkan projek lambat siap kerana mematuhi prosedur, apa guna jadi kerajaan kalau tidak memudah cara.
"Ini perlu segera diselesaikan tahun ini juga," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini. - DagangNews.com








