Belanjawan 2022 : Tiada petunjuk GST diperkenalkan semula - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2022 : Tiada petunjuk GST diperkenalkan semula - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Dalam usaha kerajaan mengekalkan pemulihan ekonomi, setakat ini, tiada petunjuk berlakunya perubahan regim cukai, antaranya memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada Belanjawan 2022 ini

 

Bagaimanapun, penganalisis CGS-CIMB, Lim Yee Ping berpendapat, petunjuk pertama pelaksanaan GST mungkin akan dibangkitkan di dalam laporan komprehensif Strategi Perolehan Jangka Sederhana, yang disasarkan akan diterbitkan pada tahun hadapan. 

 

"Sebaliknya, kerajaan sedang mengkaji untuk meningkatkan kutipan hasil cukai walaupun pematuhan cukai meningkat," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurutnya, antara langkah yang dipertimbangkan termasuklah pelaksanaan Special Voluntary Disclosure Programme (SVDP) untuk cukai tidak langsung yang diuruskan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia. 

 

Selain itu, ia juga memperkenalkan Pensijilan Pematuhan Cukai sebagai prasyarat bagi pembida tender menyertai perolehan kerajaan dan pelaksanaan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) termasuk mengkaji semula pematuhan cukai bagi menangani masalah kebocoran hasil.

 

Semalam, Kementerian Kewangan menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) bagi Belanjawan 2022 dan merupakan KPB pertama dalam sejarah tanah air.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, langkah ini bertepatan dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa, iaitu KPB diterbitkan bagi meningkatkan ketelusan proses merangka inisiatif bajet tahunan, serta membina keyakinan awam terhadap pengurusan fiskal negara, terutama dalam kalangan pelabur.

 

Melalui penerbitan KPB ini, rakyat berpeluang meneliti beberapa penanda aras termasuk tinjauan ekonomi berdasarkan kepada senario ekonomi global, semakan ke atas prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan unjuran ekonomi bagi tahun 2022 serta sasaran fiskal untuk 2021/2022.

 

Ia termasuklah status prestasi hasil percukaian dan inisiatif cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 dan pakej rangsangan ekonomi pada 2021. 

 

Dokumen KPB juga meliputi pengurusan ketirisan hasil, komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa serta strategi meningkatkan hasil dan memantapkan sistem percukaian dan status perbelanjaan 2021 dan faktor-faktor dalam mengoptimum dan mengawal perbelanjaan.

 

Menurut Yee Ping, Belanjawan 2022 akan menggabungkan agenda propertumbuhan dan inklusif bagi memastikan pemulihan ekonomi yang mapan daripada krisis pandemik COVID-19.

 

"Oleh itu, ia memberi fokus kepada 3 objektif iaitu melindungi dan menggerakkan pemulihan dalam kehidupan rakyat, membina negara yang berdaya tahan dan melaksanakan pemangkin pembaharuan. 

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan, kadar vaksinasi tinggi, pembukaan semula ekonomi dan sasaran langkah fiskal akan menjadi permulaan kepada pengukuhan fiskal pada 2022," jelasnya.

 

Pada 2021, Kementerian Kewangan menganggarkan untuk meningkatkan defisit fiskal kepada 6.5 hingga 7% daripada KDNK berikutan kekurangan hasil cukai dan sokongan fiskal berterusan memandangkan pemulihan ekonomi adalah perlahan berbanding jangkaan disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan. 

 

Kerajaan menganggarkan bagi hasil cukai sebanyak RM162.1 bilion, iaitu 12.3% lebih rendah berbanding sasaran awal berjumlah RM174.4 bilion. 

 

Di samping itu, kerajaan juga menyuntik fiskal secara langsung di bawah 4 pakej rangsangan pada tahun ini iaitu Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Plus dan Pemulih meningkatkan dana COVID-19 kepada RM27 bilion berbanding RM17 bilion sebelum itu. 

 

Peruntukan bagi perbelanjaan operasi (opex) pula berkurangan 7.1% kepada RM219.6 bilion manakala perbelanjaan pembangunan kekal stabil berjumlah RM68.2 bilion. 

 

Belanjawan 2022 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini. - DagangNews.com