Bekas KP JPA dilantik ke Lembaga Pengarah Datasonic berkuat kuasa hari ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas KP JPA dilantik ke Lembaga Pengarah Datasonic berkuat kuasa hari ini

Datin Normaliza Kairon (kanan) dan Tan Sri Borhan Dolah (kiri)

KUALA LUMPUR 12 Okt - Bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah dan akauntan bertauliah, Datin Normaliza Kairon, adalah nama-nama baru yang menyertai Lembaga Pengarah Datasonic Group Bhd. sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif mulai 12 Oktober 2022.

 

"Kumpulan syarikat Datasonic amat berbesar hati dan mengalu-alukan lantikan baru lembaga pengarah ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Borhan Dolah mempunyai pengalaman lebih 35 tahun berkhidmat di sektor awam dalam pelbagai kapasiti di beberapa jabatan dan kementerian. 

 

Sepanjang bertugas, beliau turut pernah dilantik sebagai wakil Kerajaan di Lembaga Pengarah KWSP, Ahli Tetap Majlis Eksekutif bagi Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara, Pengerusi bagi Jawatankuasa Pelaburan, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara dan Pengurusan Aset FELCRA. 

 

Terkini, beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (CCPP), Pengerusi Jawatankuasa Panel Pakar, Kementerian Belia dan Sukan, dan Pengerusi RISDA Holdings Sdn Bhd. 

 

Sementara itu, Normaliza Kairon merupakan akauntan bertauliah sejak 1998 dan ahli CPA Australia sejak 2015. 

 

Beliau berpengalaman luas dalam pelaporan dan tadbir urus korporat, menerusi peranannya sepanjang bertugas di Suruhanjaya Sekuriti dalam menguatkuasakan piawaian kewangan yang diluluskan dan pemantauan amalan tadbir urus ke atas syarikat-syarikat senaraian awam menurut Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia. 

 

Selain itu, pengalaman korporatnya termasuklah penglibatan dalam pelaporan kewangan dan korporat di Edaran Otomobil Nasional Berhad, Malayan Banking Bhd. dan Proton Holdings Bhd. 

 

Beliau turut terlibat dalam pembangunan ekonomi dan transformasi sosio-ekonomi untuk Program Transformasi Ekonomi di TERAJU Bumiputera Corporation Berhad. 

 

Normaliza juga memainkan peranan penting dalam penubuhan dan pengenalan inisiatif-inisiatif penting seperti Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan program-program bersama koridor-koridor ekonomi Negara. - DagangNews.com