Bank Rakyat catat untung RM1.76 bilion bagi tahun kewangan 2023, meningkat 3.8% | DagangNews Skip to main content

Bank Rakyat catat untung RM1.76 bilion bagi tahun kewangan 2023, meningkat 3.8%

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 April - Kumpulan Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.76 bilion bagi tahun kewangan 2023 (FY23), meningkat 3.80% atau RM64.48 juta berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM1.70 bilion.

 

Bank Rakyat berkata, keuntungan yang lebih tinggi ini dicapai melalui asas yang kukuh dan fokus terhadap aktiviti teras untuk kekal berdaya tahan meskipun ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan persekitaran perbankan semakin mencabar.

 

"Prestasi memberangsangkan ini dipacu aktiviti-aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan, pertumbuhan teguh Akaun Semasa, Akaun Simpanan dan Akaun Pelaburan (CASAIA) serta peruntukan penjejasan yang mencukupi pada tahun semasa sejajar dengan aliran industri," kata Bank Rakyat dalam kenyataan hari ini.

 

Pendapatan Bank Rakyat pada FY23 pula melonjak sebanyak 12.90% kepada RM6.67 bilion berbanding RM5.90 bilion sebelum ini, didorong pertumbuhan pembiayaan tahun ke tahun (Y-o-Y) 3.82% dalam semua segmen perniagaan.

 

Menurutnya, prestasi yang lebih baik ini turut disokong peningkatan pendapatan berasaskan fi dan pendapatan lain sebanyak 31.58% atau RM139.21 juta kepada RM580 juta berbanding RM440.79 juta pada tahun sebelumnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Irwan Mohd Mubarak dilantik sebagai Pengerusi Bank Rakyat

 

"Kumpulan mempamerkan disiplin dan pengurusan kos yang efisien, dicerminkan oleh kadar nisbah kos kepada pendapatan yang sihat sebanyak 47.85%, lebih rendah daripada purata industri.

 

"Kumpulan terus kompetitif dan menguntungkan bagi tahun semasa dan kekal sebagai salah sebuah institusi kewangan Islam sepenuhnya terbesar di Malaysia," ujarnya.

 

Kata kenyataan itu, jumlah aset Kumpulan meningkat sebanyak 1.16% atau RM1.36 bilion kepada RM118.69 bilion berbanding RM117.33 bilion pada tahun sebelumnya. 

 

Menurutnya, pertumbuhan sederhana ini didorong pertumbuhan kukuh baki kasar pembiayaan, diimbangi oleh aset perbendaharaan yang lebih rendah sebanyak 3.71% selari dengan strategi pengurusan portfolio aset perbendaharaan.

 

"Baki kasar pembiayaan mengekalkan trajektori pertumbuhan positif, meningkat sebanyak 3.82% kepada RM83.51 bilion daripada RM80.44 bilion pada tahun sebelumnya.

 

"Meskipun persaingan yang sengit, Kumpulan terus mendapat manfaat menerusi pempelbagaian portfolio terutamanya Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pembiayaan Perniagaan-i.

 

"Hasil daripada kepelbagaian ini, segmen pembiayaan runcit Kumpulan meningkat sebanyak 3.22% kepada RM75.77 bilion dan segmen perniagaan mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 16.57% kepada RM8.18 bilion," jelasnya.

 

Sementara itu, jumlah CASAIA Kumpulan meningkat sebanyak 6.80% kepada RM10.19 bilion berbanding RM9.49 bilion sebelum ini hasil daripada aktiviti pengurusan tunai yang agresif serta aktiviti-aktiviti promosi yang memberi impak sepanjang tahun.

 

Nisbah CASAIA meningkat kepada 12.55% berbanding 11.16% pada tahun sebelumnya, seiring dengan aspirasi pelan strategik lima tahun Kumpulan (BR25).

 

"Kumpulan Bank Rakyat sentiasa optimis dalam mengekalkan prestasi pertumbuhan yang baik dan kekal relevan saban tahun dipacu oleh pelaksanaan pendekatan baharu berlandaskan pelan perniagaan dan pelan strategik jangka panjang.

 

"Fokus utama Bank ditumpukan kepada memanfaatkan potensi yang boleh diteroka dalam perniagaan dan operasi melalui transformasi digital bagi mewujudkan nilai jangka panjang untuk anggota dan pelanggan," ujar Bank tersebut. - DagangNews.com