KUALA LUMPUR 18 Julai - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) secara rasminya melancarkan 'Be U', sebuah bank digital berasaskan teknologi awan sepenuhnya.
Aplikasi tersebut tersedia kepada orang ramai sejak pertengahan Jun tahun ini, Bank Islam juga menyasarkan antara 350,000 dan 400,000 muat turun dan pengguna aplikasi Be U dalam tempoh 12 bulan pertama operasinya.
Menggunakan teknologi pertama seumpamanya, penyelesaian natif awan (cloud-native solution) ini dijangka menjadi batu asas kepada semua bank digital akan datang di Malaysia.
Aplikasi perbankan serba baharu ini membolehkan pengguna menyempurnakan transaksi perbankan mereka dengan lancar, tanpa perlu mengunjungi cawangan Bank Islam. Ia juga berperanan untuk memperluaskan lagi rangkuman kewangan dengan menyasarkan kepada golongan muda dan celik digital.
Menerusi antara muka yang menarik dan mesra pengguna, Be U akan membantu pelanggan memahami dan mengurus kewangan mereka dengan pantas dan baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Be U adalah pencetus perubahan bagi Bank Islam dan industri perbankan Islam.
"Ia adalah produk yang berhasrat untuk reka bentuk semula dan memangkin pertumbuhan masa depan bank ini dengan memanfaatkan landskap teknologi kewangan (fintech) yang pesat berubah, sekali gus membolehkan pelanggan mengakses penyelesaian kewangan yang berpatutan dan mudah digunakan.

“Melalui Be U, Bank Islam beralih fokus daripada mementingkan produk kepada sifat mengutamakan pelanggan dalam membentuk produk yang memenuhi keperluan mereka. Usaha ini sejajar dengan pelan strategik perniagaan lima tahun Bank Islam (LEAP25) yang bermatlamat untuk meletakkan bank ini sebagai peneraju penyelesaian kewangan Syariah-ESG lengkap dengan kepimpinan dalam perbankan digital dan kewangan sosial menjelang tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, setelah mengambil pendekatan yang holistik untuk memenuhi keperluan pelanggan, Bank mereka bentuk asas tawaran bank digital baharu itu supaya berbeza dan saling melengkapi dengan produk-produk dan perkhidmatannya yang sememangnya tersedia di pasaran.
Katanya, Be U disasarkan kepada generasi muda, menawarkan akaun simpanan yang membenarkan baki sifar, fungsi pindahan dana dan ciri Nest yang membantu pengguna menabung untuk matlamat tertentu.

“Fungsi atau tawaran baharu dalam aplikasi Be U akan diperkenalkan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan akan datang. Ia termasuk deposit bertempoh, pasaran gig, kad debit, pengurusan kewangan peribadi, pembiayaan mikro, takaful mikro dan banyak lagi.
"Gambaran menyeluruh menerusi pengenalan Be U adalah untuk menerapkan pengalaman dan pembelajaran daripada aplikasi tersebut ke seluruh organisasi. Ini kerana kami mahu menjadikan Bank Islam sebagai sebuah organisasi yang lebih tangkas dengan menggunakan cara kerja baharu, menarik bakat dengan set kemahiran baharu, menggunakan teknologi terkini serta memanfaatkan data dan automasi.

"Ini seterusnya akan membolehkan Bank Islam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami,” tegasnya.
Tanpa melibatkan sebarang caj untuk membuka akaun Be U melalui platform tersebut, pengguna boleh memuat turun aplikasi Be U Bank Islam secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Be U, pelanggan boleh melayari laman www.getbeu.com atau mengikuti akaun media sosial Be U di Facebook @beubybankislam dan Instagram @getbeu. - DagangNews.com








