KUALA LUMPUR 6 Mac ― Bank keempat terbesar Australia, ANZ Group telah bersetuju untuk menjual kira-kira 546 juta saham atau 16.5 peratus kepentingan dalam AMMB Holdings (AmBank) pada harga kira-kira RM2.10 bilion.
Penjualan saham secara blok telah dinaikkan kepada 16.5 peratus daripada 9 peratus yang dipersetujui sebelum ini, menurut lembaran terma yang dilihat oleh Reuters.
Harga tawaran RM3.85 sesaham adalah pada diskaun 8.35 peratus ketika saham AMMB ditutup pada RM4.20 semalam.
Penjualan itu dibuat tiga tahun selepas ANZ mengumumkan ia akan mengurangkan nilai pelaburannya dalam AMMB selepas bank Malaysia itu menyelesaikan tuntutan yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pegangan saham ANZ dalam AmBank akan berkurangan kepada 5.2 peratus daripada 21.7 peratus sebaik sahaja penjualan selesai.
Perjanjian itu adalah selaras dengan strategi ANZ, yang termasuk mengecilkan perniagaan utama yang melibatkan pinjaman institusi dengan pulangan rendah dan pendedahannya kepada perbankan runcit dan kekayaan di Asia kerana ia ingin meningkatkan pulangan ke atas ekuitinya.
Hasil daripada jualan itu akan meningkatkan nisbah CET1 ANZ sebanyak 16 mata asas, tetapi tidak akan memberi kesan tambahan ke atas keuntungan, kata bank itu.
Penyelesaian penjualan itu dijangka berlaku pada 8 Mac. - DagangNews.com








