Bajet 2022 : Sedia peruntukan RM11.4 bilion perkasa bumiputera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bajet 2022 : Sedia peruntukan RM11.4 bilion perkasa bumiputera

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kerajaan memastikan Bajet 2022 memastikan agenda pemerkasaan bumiputera terus diberi keutamaan dalam usaha merapatkan jurang antara kaum di negara ini. 

 

Untuk itu, sejumlah RM11.4 bilion ringgit disediakan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan bumiputera, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan petang ini.
 

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.6 bilion disediakan bagi kemudahan pendidikan buat anak-anak bumiputera antaranya di bawah Mara, UiTM dan Yayasan Peneraju. 

 

"Peruntukan ini disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma, selain usaha melahirkan profesional dalam kalangan bumiputera di bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan," katanya.
 

Sementara itu, sebanyak RM4.8 bilion pula adalah untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd., Tekun Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

 

Katanya, sebagai usaha meningkatkan penglibatan syarikat anchor dalam membangunkan vendor bumiputera tempatan, potongan cukai 2 kali bagi perbelanjaan operasi yang layak dinaikkan daripada sehingga RM300,000 kepada sehingga RM500,000 dan dilanjutkan bagi tempoh 5 tahun sehingga 31 Disember 2025. 

 

"Bagi menggalakkan penyertaan belia bumiputera dalam melaksanakan projek-projek berskala kecil perolehan kerajaan, sebanyak RM200 juta akan disediakan. 

 

"Sebagai tambahan, kerajaan melalui CIDB akan mewujudkan accelerator program khusus kepada kontraktor belia G1 hingga G4 melalui kursus peningkatan kapasiti dan on-the-job training dengan peruntukan RM10 juta," tambah beliau. - DagangNews.com