Azri Azerai letak jawatan Pengarah Eksekutif Bintai Kinden atas sebab-sebab peribadi | DagangNews Skip to main content

Azri Azerai letak jawatan Pengarah Eksekutif Bintai Kinden atas sebab-sebab peribadi

Azri Azerai
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mei - Bintai Kinden Corp Berhad mengumumkan perubahan lembaga pengarah kumpulan dengan tiga peletakan jawatan dan dua pelantikan baharu.

 

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, pengarah eksekutifnya Azri Azerai telah meletak jawatan atas sebab peribadi dan komitmen masa terhadap syarikat lain.

 

Azri, 24, telah menyandang jawatan itu pada 23 Julai 2021 ketika berusia 22 tahun.

 

Beliau ditetapkan semula jawatan (pada 1 Oktober 2021) sebagai timbalan ketua pegawai eksekutif, empat bulan selepas pelantikan pertamanyasebelum ditetapkan semula ke jawatan asalnya, pengarah eksekutif pada 16 Februari lalu.

 

Baru-baru ini, Azri melupuskan empat blok saham, berjumlah 12.6 juta (atau 1.48% pegangan) antara 28 dan 29 Mac 2023 dengan harga RM758,806.

 

Beliau sebelum ini memegang jawatan pengarah dalam syarikat tersenarai lain, iaitu Serba Dinamik Holdings Berhad dan NWP Holdings Berhad, kedua-duanya sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif. 

 

bintai

 

Bagaimanapun, Azri meletak jawatan daripada lembaga pengarah NWP pada Mac 2022 dan Serba Dinamik pada Oktober 2022.

 

"Pada masa ini, beliau hanya memegang jawatan pengarah di Malaysian Genomics Resource Centre Berhad sebagai pengarah eksekutif," katanya.

 

Bintai Kinden juga mengumumkan peletakan jawatan Ong Choon Lui sebagai naib/timbalan pengerusi bukan eksekutif untuk mengejar kepentingan lain. Choon Lui, 51, menyandang jawatan itu pada 24 Feb 2022, selepas beliau ditetapkan semula jawatan sebagai ketua pengarah eksekutif.

 

Pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif kumpulan itu Datuk Ibrahim Othman juga telah meletakkan jawatannya, berkuat kuasa Isnin, atas sebab peribadi. 

 

Sementara itu, Datuk Ng Choon Koon, 47, dan Ng Siew Kim, 31, dilantik sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif Bintai Kinden, berkuat kuasa 15 Mei 2023.

 

Sebelum ini, Bintai Kinden tergelincir ke status PN17 pada 29 Mac 2023, selepas anak syarikatnya, Optimal Property Management Sdn Bhd (OPM) ingkar terhadap kemudahan pembiayaan bernilai RM109 juta berhubung pembinaan penginapan kampus pelajar Universiti Melaka (Unimel).

 

Azri menyalahkan kerajaan Melaka kerana tidak mengambil tindakan untuk menangani pembayaran RM49.8 juta yang terhutang kepada OPM oleh Kolej Teknologi Islam Melaka Bhd untuk pembinaan projek Unimel. - DagangNews.com