KUALA LUMPUR 22 Feb - Axiata Group Bhd. mengakhiri tahun kewangan 2021 (FY21) dengan untung bersihnya meningkat kepada RM818.90 juta berbanding RM365.16 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatan pula meningkat 7% kepada RM25.9 bilion daripada RM24.2 bilion sebelum ini manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turut meningkat 7% kepada RM11.4 bilion daripada RM10.66 bilion.
Ia menyaksikan pertumbuhan dalam semua syarikat operasi (OpCos) kecuali operasi mudah alih di Nepal, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan kembali merekodkan keuntungan bersih pada suku keempat (Q4) berakhir 31 Disember 2021 berjumlah RM116.02 juta berbanding kerugian bersih RM255.96 juta bagi tempoh sama 2020.
Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM6.9 bilion berbanding RM6.26 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, setelah melalui tahun yang amat mencabar, pertumbuhan kumpulan pada 2021 mencerminkan langkahnya untuk berkembang daripada tertumpu hanya mudah alih kepada merangkumi perniagaan digital dan infrastruktur.
“Kami terus menerima pakai pendigitalan dan analitik sebagai teras transformasi ini untuk mengenal pasti peralihan corak penggunaan dengan berkesan.
“Berdasarkan prestasi yang baik, Axiata mengumumkan jumlah dividen sebanyak 9.5 sen sesaham biasa bagi tahun tersebut, termasuk dividen interim sebanyak empat sen sesaham biasa yang diisytiharkan untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, kumpulan akan memberi fokus untuk mengekalkan momentum pertumbuhan apabila memasuki 2022 dengan menyasarkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM7.1 bilion.
Katanya, kumpulan juga berhati-hati dalam menyasarkan satu digit pertengahan untuk pertumbuhan hasil dan digit tunggal tinggi untuk pertumbuhan EBIT memandangkan keadaan luaran yang sukar.
"Melangkah ke hadapan, kami akan memantau dengan rapat persekitaran makro ekonomi, kawal selia dan risiko industri susulan perkembangan di Myanmar.
"Dari sudut perniagaan, kami positif dengan operasi di Indonesia, peningkatan hasil daripada permintaan data, kandungan digital dan transformasi digital perniagaan serta gabungan pengambilalihan yang selesai pada tahun lalu.
"Selain itu, kami juga akan meneroka peluang pertumbuhan bukan organik yang berpotensi pada tahun ini," jelas beliau. - DagangNews.com








