Axiata keluar daripada kerugian, raih untung bersih RM134.9 juta pada suku kedua FY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata keluar daripada kerugian, raih untung bersih RM134.9 juta pada suku kedua FY24

Gambar XL Axiata
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Axiata Group Bhd kembali mencatatkan keuntungan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY2024) dengan keuntungan bersih sebanyak RM134.9 juta berbanding kerugian bersih RM576.22 juta pada tahun lalu.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata, semua syarikat operasi mencatatkan prestasi kukuh kecuali Link Net (Indonesia) dan Dialog (Sri Lanka) manakala syarikat bersekutu turut mencatatkan hasil yang baik.

 

Katanya, kerugian pertukaran mata wang juga lebih rendah pada suku kedua walaupun diimbangi oleh kos kewangan bersih dan cukai yang lebih tinggi.

 

Ini merupakan suku tahun berturut-turut kumpulan mencatatkan keuntungan selepas mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM60.03 juta pada 1QFY2024.

 

Pencapaian ini membolehkan pendapatan setiap saham sebanyak 1.5 sen untuk 2QFY2024 berbanding kerugian setiap saham sebanyak 6.3 sen untuk 2QFY2023.

 

"Pendapatan untuk 2QFY24 adalah RM5.76 bilion, meningkat 2.9% daripada RM5.59 bilion stahun lalu," katanya hari ini.

 

Kumpulan telah mengumumkan dividen sebanyak lima sen setiap saham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024) dengan tarikh pembayaran dividen akan diumumkan kelak.

 

Untuk tempoh enam bulan kumulatif (1HFY2024), Axiata mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM194.93 juta berbanding kerugian bersih RM502.37 juta, manakala pendapatan meningkat 7.8% kepada RM11.42 bilion daripada RM10.59 bilion.

 

Keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) untuk 1HFY2024 melaporkan pertumbuhan dua digit yang utama disumbangkan oleh XL di Indonesia, Robi di Bangladesh, Smart di Kemboja dan EDOTCO disebabkan oleh peluasan barisan atas dan pengurangan kos operasi.

 

Axiata menyatakan pertumbuhan pendapatan mereka adalah selaras jangkaan melainkan terdapat sebarang keadaan yang tidak dijangka berkaitan dengan persekitaran makroekonomi yang mencabar terutamanya di Sri Lanka dan Bangladesh. - DagangNews.com