Audi lancar kereta elektrik sport e-tron dengan harga bermula RM369,000 | DagangNews Skip to main content

Audi lancar kereta elektrik sport e-tron dengan harga bermula RM369,000

Erik Winter (kanan) dan Ketua Jualan dan Pemasaran PHSAM, Lee Wen Hsiang ketika pelancaran Audi e-tron pada 10 Februari 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Rangkaian model kenderaan elektrik (EV) Audi yang ditunggu-tunggu dijangka melakukan 'debut' di Malaysia tidak lama lagi.

 

Audi dalam kenyataan hari ini berkata, rangkaian Q8 e-tron baharu yang terdiri daripada varian SUV dan Sportback bakal dijual pada harga bermula RM369,000 hingga RM476,000, yang mana telah dibuka untuk tempahan.

 

Katanya, model e-tron GT quattro pula dijangka ditawarkan pada harga bermula RM559,000 hingga RM643,000. 

 

"Sementara jentera berprestasi tinggi RS e-tron GT sudah boleh ditempah dengan harga di antara RM749,000 dan RM769,000.

 

"Q8 e-tron kini menetapkan standard baharu dalam segmen SUV elektrik mewah," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, varian tertinggi SUV dan sportback elektrik itu mengagumkan ramai dengan konsep pemanduan yang dioptimumkan, tahap aerodinamik lebih baik, prestasi pengecasan lebih pantas, kapasiti bateri 114kWh dan peningkatan jarak gerak sehingga 600 kilometer (km). 

 

Jelasnya, ciri-ciri utama yang ada termasuklah lampu projektor singleframe serba baharu, lampu utama LED digital matrix dan cermin luaran maya pertama seumpamanya di dunia yang dipasang pada sebuah EV. 

 

 

audi

 

 

audi

 

 

"Bukan itu sahaja, Malaysia akan menjadi salah satu negara pertama di Asia yang menerima Q8 e-tron selepas produksi pertamanya bagi tahun 2023 diperkenalkan," katanya.

 

Katanya, dengan reka bentuk emotif dan teknologi yang revolusionari, e-tron GT coupé menginterpretasikan kembali idea klasik gran turismo yang mana hasil kerja seni teknikal, e-tron GT quattro dan RS e-tron GT menawarkan kegunaan setiap hari yang cemerlang dan mampu dipandu dalam jarak jauh sehingga 501km. 

 

 

audi

 

 

audi

 

 

Kuasanya boleh dirasai serta-merta dan RS e-tron GT mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 3.3 saat, katanya.

 

Pengarah Urusan PHS Automotive Malaysia (PHSAM), Erik Winter berkata, beliau yakin bahawa model-model mewah berprestasi tinggi Audi akan menawarkan pengalaman pemanduan yang luar biasa buat pemiliknya. 

 

“Rangkaian model e-tron telah dibina khas sepenuhnya dengan memberi penekanan terhadap aspek prestasi. Ia mengukuhkan lagi identiti Audi sebagai perintis masa depan dan menjadi bukti terbaik aspirasi teknologi Audi," katanya. - DagangNews.com