Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 20 Dis - AT&S telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Nur Power membabitkan perolehan bekalan tenaga boleh diperbaharui (RE) untuk kilangnya yang bakal beroperasi di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah.
Berdasarkan rangka kerja MoU yang ditandatangani kedua-dua syarikat tersebut, Nur Power yang merupakan pengeluar tenaga bebas bagi Kulim Hi-Tech Park akan membekalkan tenaga suria untuk kilang AT&S pada kapasiti 25MW pada 2023 dan sehingga 75MW menjelang 2026 menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi tempoh sekurang-kurangnya 21 tahun.
Tenaga suria yang dijanjikan tersebut adalah tenaga yang boleh dikesan yang bakal menyediakan 30% daripada penggunaan tenaga tahunan kilang ini pada peringkat permulaannya dengan potensi sumbangan RE yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Memandangkan pembangunan kilang AT&S Kulim berjalan dengan pantas, kedua-dua pihak akan berusaha untuk memastikan kejayaan sambungan RE solar dan kapasitinya dalam garis masa yang telah diunjurkan.
Pada Jun 2021, AT&S telah mengumumkan pelaburan sebanyak RM8.5 bilion untuk membina pusat pengeluaran substrat IC peringkat atasannya yang baharu di KHTP.
Kerja-kerja pembinaan pusat tersebut sedang dijalankan dan dijangka mula beroperasi mulai 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Andreas Gerstenmayer menyifatkan langkah tersebut amat penting terutama apabila syarikat berpegang kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Katanya, AT&S menyasarkan untuk mencapai keneutralan karbon dioksida bagi operasi pengeluaran di Kulim Hi-Tech Park dan berhasrat untuk mencapai status sebagai sebuah syarikat hijau yang mengambil berat tentang persekitarannya.
"Bagi kami, langkah ini adalah penting dalam mengurangkan jejak ekologi kami serta memelihara kehijauan alam sekitar untuk generasi yang akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Nur Power, Ikwan Hafiz Jamaludin berkata, syarikat memuji komitmen ESG AT&S dan berbangga kerana dapat menyertai usaha RE mereka untuk mencapai keneutralan karbon dioksida.
"Memandangkan ESG akan memacu keperluan pelaburan pada masa akan datang bagi pelabur tempatan dan juga pelabur asing, kami akan menumpukan usaha ke arah meningkatkan bekalan RE.
"Pada masa sama, kami akan meneruskan usaha untuk memastikan kualiti dan keutuhan tenaga yang tinggi di Kulim Hi-Tech Park," katanya. - DagangNews.com








