Aqil Zulkiflee menang kes saman terhadap `Auntie Soleha' atau Siti Solehah Mohamed Ali atas dakwaan memfitnah | DagangNews Skip to main content

Aqil Zulkiflee menang kes saman terhadap `Auntie Soleha' atau Siti Solehah Mohamed Ali atas dakwaan memfitnah

Gambar Aqil Zulkiflee dan peguam beliau di luar mahkamah Melaka pada 1 Jun 2023.

AYER KEROH 1 Jun - Aqil Zulkiflee, pemenang 'Favourite Asian Creator' di Nickelodeon Kids' Choice Awards menang tuntutan saman fitnahnya terhadap defendan, Siti Solehah Mohamed Ali yang didakwa telah memfitnahnya sebelum ini.

 

Keputusan itu dibuat oleh hakim di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.

 

Dalam notis tuntutan beliau, Aqil selaku plaintif, telah menuntut RM1 juta ganti rugi, menuntut agar mahkamah mengeluarkan injunksi untuk menghentikan defendan menyebarkan pembohongan, ganti rugi keterlaluan atau ganti rugi teladan, jumlah kerugian am ditaksirkan mahkamah, gantirugi spesifik, permohonan maaf, kos tindakan dan lain-lain relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

 

Saman fitnah tersebut difailkan Aqil terhadap defendan yang menggunakan nama 'Auntie Soleha' di aplikasi Facebook, pada 14 Februari tahun lalu atas dakwaan menerbitkan kenyataan-kenyataan fitnah berkaitan karakter dan keperibadian Aqil yang disiarkan oleh saluran media sosial Tik Tok, You Tube dan juga di saluran kepunyaan Meta Platforms, Inc. (atau Facebook).

 

Peguam Aqil, Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors di Shah Alam, berkata objektif utama anak guam mengambil keputusan menyaman defendan adalah untuk menjaga nama baik beliau. “Anak guam Aqil Zulkiflee berjaya membuktikan yang perbuatan defendan, Siti Solehah, telah menyebabkan kerosakan pada reputasi beliau sebagai pempengaruh media sosial tersohor melalui kenyataan-kenyataan palsu dan plaintif telah dikecam, dihentam, dihina dan ‘dibasuh teruk’ di ruang siber. Kami gembira yang reputasi beliau telah berjaya dipulihkan melalui keputusan mahkamah hari ini.”

 

Aqil, selaku plaintif, mempunyai hampir 3 juta pengikut di laman media sosial You Tube, Instagram dan Twitter semasa memfailkan saman tersebut, mendakwa yang defendan, Siti Solehah melalui nama pengguna “Auntie Soleha” telah mengarang kenyataan-kenyataan yang berbaur fitnah dan diterbitkan di platform media sosial Facebook pada 24 Disember tahun lalu dan di platform Tik Tok pada 7 Januari lepas, antara lain.

 

Kenyataan fitnah pertama oleh defendan telah dikongsi sebanyak 173 kali dan menerima reaksi sebanyak 594 kali serta dikongsikan oleh pengguna akaun Facebook atas nama Teh Tarik Kopi O yang telah dikongsi semula sebanyak lebih 1500 kali.

 

Mahkamah Sesyen bersetuju dengan tuntutan Aqil bahawa apa yang ditulis oleh defendan berniat jahat dan mengjekelkan kerana kenyataan-kenyataan yang dikarang dan diterbitkan memberi gambaran amat buruk kepada pembaca dan pengguna media sosial bahawa beliau adalah seorang figura awam, penggiat maya kreatif dan usahawan yang menipu, tidak patut disokong oleh masyarakat, ingin cepat kaya dengan cara yang salah, terdesak, perasan dirinya terkenal, ingin menjadi terkenal dengan cara yang salah, hamba kepada wang dan berperangai teruk.

 

Pemenang trofi bagi Kategori You Tuber Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-34 itu juga berjaya dalam tuntutan beliau apabila mendakwa yang kenyataan-kenyataan mencaci nama baik dan reputasi beliau masih boleh diakses sehingga kini.

 

Mahkamah seterusnya bersetuju dengan Aqil bahawa penerbitan fitnah siber oleh defendan tersebut menyebabkan masyarakat mempercayai apa yang telah ditulis, dan perbuatan defendan telah mengakibatkan khalayak sasaran dan khalayak ramai berfikir beliau adalah seorang yang tidak disukai, dibenci, patut diejek, ditakuti atau dihina apabila reputasi beliau telah dicederakan oleh defendan.

 

Mahkamah juga bersetuju dengan peguam Aqil yang fitnah tersebut mengancam keyakinan dan kebolehpercayaan orang ramai terhadap jenama peribadi beliau, dan menggugat tahap penghormatan, kemasyhuran dan kedudukan beliau sebagai pempengaruh yang dikenali ramai.

 

Aqil Zulkiflee berkata beliau bersyukur yang nama beliau kini telah dibersihkan dan mahkamah bersetuju yang kesemua kenyataan yang dibuat adalah fitnah.

 

"Aqil ingin berterima kasih kepada barisan peguam iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors di Shah Alam yang telah membantu saya dalam kes fitnah siber ini sejak setahun setengah yang lepas.

 

"Aqil banyak mengikut kes-kes selebriti dan orang ternama lain yang diwakili oleh peguam tersebut, dan mereka berjaya memenangi kes-kes saman fitnah siber. Jadi keputusan hari ini menunjukkan yang Aqil telah membuat keputusan yang tepat apabila melantik firma guaman itu.

 

"Terima kasih juga kepada pengurus krisis dan jurucakap Aqil dari firma pengurusan krisis PROPAGANDA yang memainkan peranan penting dalam memastikan reputasi saya dilindungi dan dipelihara sebelum, semasa dan selepas kes saman sivil ini. Melalui kepakaran mereka, semua salah tanggapan orang ramai telahpun ditangani dengan baik. Malah, Aqil sebenarnya sangat gembira kerana reputasi saya sebenarnya berjaya ditingkatkan melalui pengurusan krisis secara profesional semasa mengharungi kes mahkamah ini.

 

"Seterusnya Aqil ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan (stakeholders) yang menyokong Aqil sepanjang krisis undang-undang ini yang mana keputusan menyaman terpaksa diambil bagi memelihara nilai reputasi dan jenama peribadi saya serta pendapatan masa hadapan," katanya. - DagangNews.com