KUALA LUMPUR 28 Jun - AMMB Holdings Bhd. mengumumkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengesahkan memperoleh kelulusan Kementerian Kewangan bagi cadangan pelupusan AmGeneral Insurance Bhd. (AGIB) kepada Liberty Insurance Bhd. (LIB).
Berikutan kelulusan itu yang diperoleh dalam surat bertarikh 27 Jun 2022, AMMB Group akan memeterai perjanjian jual beli dan urus niaga lain berhubung cadangan tersebut menurut syarat perjanjian pelaksanaan yang telah dimeterai antara AGIB dan LIB pada 19 Julai 2021.
"Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka, pemeteraian perjanjian berkaitan dijangka dilaksanakan pada Julai 2022," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Pada Julai 2021, AmGeneral, anak syarikat 51% milik AMMB, menandatangani perjanjian pelaksanaan dengan LIB bagi cadangan penjualan anak syarikat milik penuhnya, AGIB dengan nilai kira-kira RM2.29 bilion.
Cadangan penjualan itu akan dibiayai melalui gabungan tunai dan saham, yang akan menjadikan AMMB memiliki kepentingan sebanyak 30% dalam perniagaan LIB dan AGIB.
Ia tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan iaitu LIB akan mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam AGIB daripada AGHB.
Selepas selesai cadangan penjualan itu, AMMB dan Liberty Mutual Insurance Company, syarikat induk LIB, masing-masing akan memiliki 30% dan 70% kepentingan ekuiti dalam LIB dan AGIB.
AMMB akan mengambil kira cadangan penjualan itu sebagai penjualan anak syarikat dan berikutnya, akan menyumbang 30% kepentingan tetap dalam LIB dan AGIB sebagai syarikat bersekutu.
Cadangan penjualan akan turut menyaksikan kumpulan AMMB menjalin kerjasama bankasurans baharu untuk tempoh 20 tahun. - DagangNews.com








