AmInvestment turunkan penarafan MPI kepada 'pegang' ekoran prospek kekal mencabar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment turunkan penarafan MPI kepada 'pegang' ekoran prospek kekal mencabar

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Nov - AmInvestment Bank Research menyemak turun penarafan Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) kepada 'pegang' daripada 'beli' dengan nilai wajar lebih rendah pada RM28 berbanding RM38.40 sesaham sebelum itu. 

 

Semakan itu adalah berdasarkan ketidaktentuan makroekonomi yang akan terus memberi risiko kepada hasil kumpulan, setelah ia merekodkan keuntungan suku pertama di bawah jangkaan penganalisis, terjejas akibat jualan yang lebih rendah dan tekanan margin kasar. 

 

Untung bersihnya pada suku pertama berakhir 30 September 2022 susut 35.5% kepada RM52.7 juta daripada RM81.68 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya ekoran permintaan yang lebih rendah daripada pasaran pengguna elektronik di Asia.

 

Pendapatan pada suku itu juga susut 3.5% kepada RM564.02 juta daripada RM584.53 juta, terutamanya diheret turun daripada segmen Asia yang mencatat hasil 15% lebih rendah manakala segmen Amerika Syarikat (AS) dan Eropah masing-masing meningkat 7% dan 25%.

 

"Ini menyaksikan keuntungan bersih yang direkodkan pada suku berkenaan hanya merangkumi 16% daripada unjuran kami dan konsensus bagi tahun kewangan penuh berakhir 30 Jun 2023 (FY23).

 

"Oleh itu, kami turut menyemak turun unjuran hasil bagi FY23 hingga FY23 sebanyak 10 hingga 26% selepas mengambil kira anggaran jualan dan margin kasar yang lebih konservatif," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut AmInvestment, risiko utama lain termasuklah pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan kekurangan tenaga kerja yang teruk serta peningkatan inflasi secara berterusan.

 

Namun, firma itu berkata, di sebalik persekitaran mencabar, keuntungan MPI pada FY23 akan disokong permintaan kukuh daripada industri automotif dengan meningkatnya gelombang terhadap penggunaan kenderaan elektrik (EV).

 

"Kekuatan teras kumpulan dicetuskan daripada langkah awalnya untuk menghasilkan produk kuasa silikon karbida (SiC) dan galium nitrat (GaN) yang mempunyai aplikasi dalam EV, pelayan, tenaga boleh diperbaharui dan alat pengguna," katanya.

 

Setakat 10.35 pagi, harga saham MPI menokok 60 sen atau 2.17% kepada RM27 dengan 108,200 saham diniagakan. - DagangNews.com