AmInvestment semak naik unjuran untung bersih Mega First Corp pada FY24 sebanyak 8% | DagangNews Skip to main content

AmInvestment semak naik unjuran untung bersih Mega First Corp pada FY24 sebanyak 8%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 April - AmInvestment Bank Research menyemak naik unjuran untung bersih FY24 Mega First Corp Bhd (MFCB) sebanyak 8% selepas mengambil kira pendapatan lebih tinggi daripada loji kuasa hidro Don Sahong (DSHP) di Laos.

 

Katanya, DSHP dijangka menampilkan prestasi cemerlang pada FY24 disokong oleh keuntungan tukaran mata wang asing dan pentauliahan turbin kelimanya pada 3QFY24.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) DSHP bertambah baik sebanyak 2% bagi setiap susut nilai 10 sen dalam ringgit.

 

"Kami berpendapat bahawa turbin kelima akan meningkatkan EBIT sebanyak 3% pada FY24 dengan mengandaikan EAF (faktor ketersediaan setara) sebanyak 40%. 

 

"Turbin kelima akan meningkatkan kapasiti DSHP kepada 325MW daripada 260MW apabila siap," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu percaya, EBIT bahagian sumber (perlombongan kapur) akan bertambah baik sebanyak 20% pada FY24 berikutan harga jualan lebih tinggi dengan peningkatan margin selain kos bahan mentah yang semakin stabil.

 

Menurut Bloomberg, purata harga arang batu (Newcastle) telah menyusut sebanyak 46.4% kepada AS$127/tan pada suku pertama tahun ini daripada AS$236/tan pada suku pertama 2023.

 

"Bahagian sumber juga merupakan penerima manfaat daripada peningkatan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit kerana jualan eksport menyumbang 60% hingga 70% daripada hasil.

 

"Bagi bahagian pembungkusan, kami percaya bahawa pendapatan akan bertambah baik pada FY24 apabila operasi dimulakan semula selepas terjejas oleh kebakaran tahun lepas," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM5.40 sesaham. - DagangNews.com