AmInvestment semak naik nilai wajar Hektar REIT kepada 81 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment semak naik nilai wajar Hektar REIT kepada 81 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Nov - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Hektar Real Estate Investment Trust (REIT) dengan nilai wajar (FV) dinaikkan kepada 81 sen daripada 73 sen seunit selepas mengambil kira kadar sewa dan pendapatan lain yang lebih tinggi daripada jangkaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

Sejajar dengan semakan semula FV, ia menaikkan unjuran pendapatan boleh agih diselaraskan (ADI) bagi FY22 sebanyak 47% berikutan pembalikan kerugian rosot nilai yang lebih tinggi bagi penghutang dagangan pada tahun kewangan tersebut.

 

Malah, unjuran itu juga dinaikkan bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 26% dan 27% didorong pulangan sewaan yang lebih tinggi berdasarkan kepada jangkaan kedatangan pengunjung yang semakin meningkat dalam tempoh itu. 

 

Menurutnya, Hektar REIT melaporkan pendapatan boleh agih sebanyak RM34 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, dan tidak termasuk pendapatan lain sekali sahaja sebanyak RM2 juta, ADI sebanyak RM31 juta adalah melepasi jangkaan pendapatan boleh agih bagi FY22.

 

"Ia merangkumi 116% daripada anggaran awal kami bagi tahun kewangan penuh. Perbezaan ini disebabkan terutamanya oleh pembalikan kerugian rosot nilai bagi penghutang dagangan berjumlah RM4 juta dalam tempoh sembilan bulan itu. 

 

"Namun begitu, kami tidak menjangkakan pembalikan ketara rosot nilai pada suku akan datang berdasarkan semakan kami dengan pihak pengurusan baru-baru ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Keuntungan Hextar REIT meningkat lebih 800% pada suku ketiga kepada RM13.5 juta

 

Hektar REIT mencatatkan pendapatan sebanyak RM31.07 juta bagi suku ketiga berakir 30 September 2022, meningkat 62.4% berbanding RM19.13 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagi tempoh itu, pendapatan hartanah bersih (NPI) meningkat 77.2% kepada RM18.31 juta daripada RM10.34 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Ini menjadikan keuntungan selepas cukai sebanyak RM13.5 juta, meningkat 861.8% berbanding RM1.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Untuk tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2022, pendapatannya meningkat 25% kepada RM89.55 juta daripada RM71.62 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan NPI meningkat 40.4% kepada RM48.64 juta daripada RM34.64 juta.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment menyukai Hektar REIT berdasarkan kepada kepelbagaian portfolio pusat beli-belahnya yang terletak di lokasi strategik di Selangor, Melaka, Johor dan Kedah.

 

Malah, katanya, kebanyakan pusat beli-belah runcitnya (Kulim Central, Central Square dan Wetex Parade) mempunyai pangkalan pelanggan yang lebih konsisten memandangkan mereka sama ada satu-satunya pusat membeli-belah di bandar tersebut atau pusat beli-belah yang dominan.

 

"Selain itu, kerjasama strategiknya dengan Frasers Centrepoint Trust akan membantu Hektar REIT mempercepatkan rancangan pengambilalihan, mengusahakan projek usaha sama, mendapatkan bantuan kewangan dan memanfaatkan sinergi dalam kemahiran, pengalaman dan hubungan dari segi peruncitan," katanya. - DagangNews.com