KUALA LUMPUR 13 April - RHB Investment memulakan liputan terhadap AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) dengan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) RM1.38.
Firma penyelidikan itu berpendapat bahawa prospek REIT tersebut cerah, di mana mempunyai ruang hutang tinggi, saluran pembangunan baharu jelas daripada penaungnya, dan dinamik permintaan bekalan menggalakkan dalam ruang hartanah perindustrian.
“Ini disebabkan oleh tinjauan positif untuk pertumbuhan organik dan bukan organiknya, dengan pengurusan menyasarkan MYR100 juta dalam pemerolehan baharu setiap tahun,” tambah firma itu dalam nota hari ini.
Firma itu menganggarkan keuntungan bersih teras FY23 sebanyak RM32 juta atau peningkatan 19% tahun ke tahun, didorong oleh permulaan operasi asrama ketiga serta pengembalian sewa lebih baik selepas pembukaan semula ekonomi.
“Kami menjangkakan pendapatan bersih FY24-25 meningkat sebanyak 5.6% YoY dan 3.8% YoY disebabkan dua aset miliknya akan mula menyumbang dari FY24 dan seterusnya,” katanya.
Mengulas lanjut, firma itu berkata AME REIT mempunyai penyewa berkualiti tinggi yang boleh memastikan kadar penghunian mampan dan pengembalian sewa, manakala asrama pekerja membentuk sub-segmen yang sepatutnya menyaksikan permintaan kukuh pada tahun-tahun mendatang, memandangkan penekanan semakin meningkat terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Di samping itu, ia mendapat sokongan kukuh daripada penaungnya, AME Elite Consortium Berhad (AME) sebagai pemaju dan kontraktor hartanah industri profesional yang membina kemudahan industri pihak ketiga dan membangunkan kilang direka sesuai dengan pelanggan di taman perindustriannya sendiri.
“Tanah baharu seluas 170 hektar di Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan (SiLC) harus mengekalkan aliran aset untuk disuntik ke dalam AME REIT dalam jangka panjang.
Setelah menghabiskan lebih 14 tahun dalam segmen hartanah perindustrian, Ketua Pegawai Eksekutif, Chan Wai Leo berpengalaman dalam memacu prospek pertumbuhan bukan organik REIT,” tambahnya.
Selain itu, asrama pekerja merupakan segmen pertumbuhan tinggi memandangkan AME REIT adalah satu-satunya REIT Malaysia yang mempunyai asrama pekerja dalam portfolionya, di mana menurut firma tersebut, walaupun tiga asrama pekerja hanya menyumbang 22% daripada nilai aset, pendapatan daripada segmen ini berkemungkinan menjadi besar apabila asrama baharu disuntik.
“Kami menjangkakan AME akan membina lebih banyak asrama pada tahun-tahun mendatang didorong oleh permintaan kukuh, penekanan ESG di rantau ini dan peralihan kawal selia,” katanya. -DagangNews.com








