AME REIT catat pendapatan hartanah bersih RM10.8 juta pada 2QFY24, isytihar DPU 1.80 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AME REIT catat pendapatan hartanah bersih RM10.8 juta pada 2QFY24, isytihar DPU 1.80 sen

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) mencatat pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM10.8 juta daripada hasil berjumlah RM11.8 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24).

 

Bagi separuh pertama FY24, AME REIT mencapai NPI sebanyak RM21.5 juta daripada hasil sebanyak RM23.2 juta.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, REIT perindustrian itu mengumumkan ganjaran kepada pemegang unit dengan mengagihkan 99.8% daripada RM9.4 juta pendapatan boleh agihnya untuk 2QFY24, diterjemahkan kepada pengagihan seunit (DPU) sebanyak 1.80 sen.

 

DPU akan dibayar pada 18 Disember 2023 kepada pemegang unit yang namanya tercatat dalam rekod pendeposit AME REIT pada penutupan perniagaan pada 24 November 2023.

 

Memandangkan AME REIT telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 20 September 2022 , keputusan kewangan bagi suku yang sama sebelumnya meliputi tempoh dari 20 September 2022 hingga 30 September 2022 sahaja dan oleh itu tidak dapat dibandingkan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers Sdn Bhd, syarikat pengurusan AME REIT, Chan Wai Leo berkata syarikat itu optimis terhadap prospek untuk baki FY24.

 

Ini, katanya, didorong oleh perkembangan menggalakkan dalam memuktamadkan baki pembaharuan dengan empat penyewa sedia ada yang akan tamat tempoh dalam tahun kewangan semasa.

 

 

Chan Wai Leo
Chan Wai Leo

 

 

“Daripada 12 penyewaan yang tamat tempoh dalam tahun kewangan semasa, kami berjaya memperbaharui tujuh penyewa sedia ada dan memperoleh satu penyewa gantian mewakili kira-kira 66% daripada jumlah ruang untuk pembaharuan bagi segmen hartanah perindustrian.

 

“Pengekalan kadar penghunian semasa 100% merentas semua hartanah perindustrian, dengan penyewaan jangka panjang, adalah bukti kepada kualiti perkhidmatan dan hartanah yang kami berikan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan yang sama.

 

Menurut Chan, syarikat itu telah memuktamadkan pengambilalihan ketiga dan terakhir bagi Plot 16 Indahpura baru-baru ini, menandakan kemuncak kejayaan pengambilalihan sulung mereka selepas penyenaraian tiga hartanah perindustrian di Iskandar Malaysia.

 

“Ini, berserta perkembangan positif pembaharuan penyewaan, membolehkan kami menjana pendapatan boleh agih sihat yang boleh kami agihkan kepada pemegang unit,” tambahnya.

 

Susulan pengambilalihan tiga hartanah perindustrian, hartanah di bawah pengurusan AME REIT telah meningkat kepada RM668 juta.

 

Hartanah AME REIT terletak terutamanya di tiga taman perindustrian AME Group di Iskandar Malaysia, iaitu i-Park @ Indahpura di Kulai, i-Park @ Senai Airport City di Senai, dan i-Park @ SILC di Iskandar Puteri. - DagangNews.com