KUALA LUMPUR 2 Ogos - AME Elite Consortium Bhd telah melantik Dylan Tan Teck Eng sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, AME Elite berkata Dylan,46, akan menerajui transformasi dan pertumbuhan kumpulan bersama-sama pasukan pengurusan.
AME Elite merupakan penyedia rumusan ruang industri bersepadu, khusus dalam reka bentuk dan pembinaan kilang pembuatan berskala besar dan pembangunan taman perindustrian moden.
Dylan memulakan kerjayanya dengan KPMG Malaysia pada 1999 selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi, Sydney, Australia.

Beliau merupakan Pengamal Akauntan Bertauliah CPA Australia pada 2003 dan seterusnya sebagai Akauntan Bertauliah MIA pada tahun 2004
Pada Januari 2011, beliau mula bertugas di perkongsian KPMG Malaysia dan kemudiannya pada Januari 2018, beliau dinaikkan pangkat sebagai rakan kongsi bertanggungjawab bagi pejabat KPMG Johor sehingga Disember 2022.
Semasa berkhidmat dengan KPMG, Dylan mempunyai pengalaman kerja audit meluas dalam pelbagai industri dengan pelanggan utama termasuk syarikat multinasional dan syarikat tersenarai awam dalam perniagaan perdagangan dan pembuatan yang berkaitan dengan industri elektrik dan elektronik, dan juga syarikat logistik, perladangan, pembinaan dan pembangunan hartanah.
Ketika Dylan dipinjamkan ke KPMG Dallas, Amerika Syarikat dari Ogos 2004 hingga April 2006, beliau terlibat dalam tugasan audit dalam perkhidmatan, pembuatan dan industri minyak dan gas.

Beliau juga telah terlibat dalam peranan akauntan pelapor untuk tugasan tawaran awam permulaan dan penglibatan semakan khas yang melibatkan pengambilalihan.
Setelah beliau meninggalkan KPMG, Dylan mengasaskan Blue Beacon Coaching & Consulting Sdn Bhd.
Pada waktu penulisan, saham AME Elite susut 1 sen atau 0.7% kepada RM1.37 dengan permodalan pasaran bernilai RM877.7 juta. - DagangNews.com








